suria

Pendirian MCA Berbeza Dengan DAP, Kata Liow

PUTRAJAYA: Apa sahaja pendirian yang disuarakan MCA berbeza sama sekali dengan pendirian DAP, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata apa yang disuarakan MCA adalah dalam semangat Barisan Nasional (BN) dan untuk kebaikan BN secara keseluruhannya.

"Semua kaum mempunyai masalah, jadi sebagai parti yang mewakili kaum Cina, MCA perlu terus menyuarakan pandangan dan hasrat kaum itu tetapi bukan dengan niat atau bersifat perkauman.

"Tiada salahnya untuk kita menyuarakan pandangan dan pendapat tetapi yang penting adalah bagaimana kerajaan BN menyelesaikan masalah-masalah yang disarankan itu," katanya kepada pemberita di sini Rabu ketika diminta mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa MCA tidak takut untuk berkongsi pandangan yang sama dengan DAP dalam aspek kepentingan masyarakat Cina.

Liow berkata perkara itu hanya sekadar pandangan dan masalah berkenaan tidak akan menjadi punca untuk berbalah sesama sendiri.

Terdahulu, Liow yang juga Menteri Kesihatan, menyaksikan majlis memandatangani perjanjian mengenai pelancaran siaran MedikTV antara Kementerian Kesihatan dan Medic Channel (M) Sdn Bhd.

Dalam ucapannya Liow berkata, di bawah perjanjian itu siaran MedikTV akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan meliputi 164 lokasi termasuk hospital kerajaan dan Klinik 1Malaysia di seluruh negara.

"MedikTV akan memberi informasi kesihatan terkini serta promosi kempen kesedaran kesihatan secara terus kepada pelawat dan pesakit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain