Mahkamah Tolak Rayuan Bekas Tahanan ISA Dikaitkan Dengan Al Qaeda - Semasa | mStar

Mahkamah Tolak Rayuan Bekas Tahanan ISA Dikaitkan Dengan Al Qaeda

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan writ habeas corpus seorang rakyat Malaysia dan tujuh warga asing, yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dengan keganasan antarabangsa.

Rakyat Malaysia berkenaan ialah Azzahari Murad, manakala warga asing terbabit ialah Luqman Abdul-Salam, Uthman Abdul-Alhi Bolajoko, Aiman Yosof Aldakkak, Mohamed Hozifa Aiman Al Dakak, Kutiba Ahmad Al Issa, Khalid Saleem Mohammed dan Hasan Mohamed Murei Korban Baroudi dari Timur Tengah dan Afrika.

Mereka ditangkap mengikut ISA pada 21 Jan tahun ini di sebuah rumah di Kampung Sungai Cincin, Batu 8-1/2, Jalan Gombak, di sini kerana disyaki mengambil penduduk asing dan warga tempatan untuk menganggotai sebuah kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda dengan cara menganjurkan kelas agama secara rahsia yang memberi penekanan terhadap jihad menggunakan senjata api terhadap kepentingan bukan Islam, dianggap mengancam dan membahayakan keselamatan nasional.

Bagaimanapun, setelah siasatan selesai dijalankan pada 10 Mac, tujuh warga asing berkenaan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara masing-masing, manakala Azzahari dikenakan perintah kediaman terhad selama dua tahun di daerah Petaling Jaya melalui satu Perintah oleh Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 8(5) ISA.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, yang mengetuai panel tiga hakim, membuat keputusan bahawa mahkamah berkenaan tidak dapat mendengar rayuan itu kerana keputusan mahkamah tertinggi telah menyebut dengan agak jelas bahawa habeas corpus hanya boleh diberi kepada seseorang yang sedang ditahan dengan secara fizikal dengan cara yang tidak sah dan dia mestilah sedang berada dalam tahanan.

Dua lagi anggota panel itu ialah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Zaki membuat keputusan itu setelah mendengar hujah peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili lapan bekas tahanan berkenaan dan Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria, yang bertindak bagi pihak Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan.

Pada 11 Mac, Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus mereka dan memutuskan ia menjadi bahan akademik kerana mereka tidak lagi berada dalam tahanan polis.

Amer Hamzah berkata setelah mendengar rayuan itu, mahkamah patut memutuskan sama ada lapan anak guamnya telah ditahan secara wajar.

Zaki memberitahu Amer Hamzah bahawa sekiranya beliau beranggapan anak guamnya ditahan secara salah, maka beliau boleh memfailkan saman mengenainya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

Artikel Lain