suria

MAHB:Aerotren Ditutup Lima Bulan Untuk Beri Laluan Kepada Projek Pembinaan

SEPANG: Sistem Transit Trek (TTS) atau aerotren perlu menghentikan perkhidmatan buat sementara waktu iaitu kira-kira lima bulan bagi memberi laluan kepada Projek Spurline Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), demikian menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengurus besar kanan bahagian perkhidmatan operasi MAHB, Datuk Azmi Murad berkata, ia akan mengambil masa yang agak lama, mungkin sehingga sembilan bulan, jika projek itu telah dijalankan tetapi sistem TTS sedia ada masih lagi beroperasi.

"Terdapatnya implikasi di mana langkah berjaga-jaga mesti diambil pada masa yang sama," kata beliau kepada pemberita dalam taklimat media mengenai penutupan TTS dan Projek Spurline KLIA di sini Khamis.

Projek itu melibatkan pengubahsuaian tren sedia ada dan tambahan tiga (kereta) tren, penyenggaraan dan penyimpanan kemudahan bangunan, dan "spurline" yang baru dengan sistem TTS sedia ada.

Walaupun projek itu dijadual siap pada September 2011, TTS akan kembali beroperasi pada pertengahan Mac tahun depan, kata Azmi.

Kontraktornya, Konsortium Bombadier-Hartasuma Sdn Bhd, diberi tempoh 32 bulan untuk menyiapkan projek bernilai RM209 juta itu, kata beliau.

"Implikasi lain jika tidak menutup sementara sistem itu ialah kita perlu memasang pagar penutup yang sesuai untuk mengasingkan trek yang beroperasi dan mengekalkan struktur untuk lapan bulan," tambah beliau.

Azmi berkata keselamatan pekerja perlu dipertimbangkan kerana satu tren akan beroperasi di atas trek yang lain yang dilengkapi dengan kabel berkuasa tinggi kira-kira 600kV.

"Kemungkinan besar ialah sementara kerja-kerja dijalankan di satu trek, ia mungkin boleh mencetuskan gangguan perkhidmatan ke atas trek yang satu lagi," kata beliau.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha pada awal bulan ini mengumumkan yang perkhidmatan aerotren akan ditutup buat sementara bermula 1 Nov bagi penyenggaraan berjadual.

TTS itu mempunyai dua trek dengan setiap satu dipasang dengan tiga kereta tren.

Azmi berkata sudah tiba masanya untuk tren-tren itu menjalani penyenggaraan memandangkan trek untuk satu tren dan trek untuk dua tren telah membuat perjalanan, masing-masing 44 dan 48 kali tanpa henti.

Sebagai ganti, penyedia lapangan terbang itu akan mengatur 16 buah bas untuk mengangkut penumpang ke dan dari terminal utama ke bangunan satelit agar tidak mengganggu aliran penumpang.

Aerotren itu mula beroperasi pada 1998. Azmi berkata Projek Spurline KLIA yang menelan kos RM209 juta itu akan mengatasi keperluan masa depan sistem tren dengan pembinaan Bangunan Satelit B dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

Projek "spurline" itu akan menghubungkan kedua-dua bangunan satelit di masa hadapan, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain