suria

Koh Mahu Tindakan Segera Jika Benar Dakwaan Kes Hina Kaum

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mahu tindakan segera diambil ke atas pihak terlibat sekiranya benar dakwaan kes menghina kaum berlaku. Beliau berkata sekalipun insiden itu dilihat sebagai terpencil, perkara seumpama tidak boleh dibenarkan berlaku dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan kes itu adalah bukti konsep 1Malaysia gagal.

"Sepertimana wujudnya kes kemalangan di jalan raya, satu kemalangan tidak bermakna jutaan pemandu tidak memandu dengan cermat.

"Itu kita tak patut jadikannya sebagai satu kesimpulan terhadap apa yang disifatkan sebagai kegagalan 1Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini Khamis. Beliau sebelum itu diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang antara lain menyebut seorang pengetua sekolah didakwa telah mengeluarkan kenyatan berunsur perkauman terhadap pelajar kaum lain di sebuah sekolah di Kulai Jaya, Johor.

Koh berkata perkara seumpama tidak akan berlaku jika semua pihak menghayati prinsip Rukun Negara dan semangat 1Malaysia.

Mengulas mengenai gesaan Pemuda Barisan Nasional agar pihak terlibat dikenakan tindakan tegas, Koh berkata jika benar insiden itu berlaku tindakan harus selaras dengan tahap seriusnya kes tersebut.

Beliau berkata jika kes seumpama terus berlaku, kerajaan mungkin perlu menyediakan garis panduan untuk rujukan pihak sekolah bagi menangani isu itu.

"Kes ini perlu dijadikan pedoman dan peringatan bahawa kita tidak boleh memandang ringan kerana ia mungkin berlaku...walau satu kes sekalipun ia sepatutnya tidak berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain