suria

Khir Toyo Mahu Ronnie Kekal Exco

PETALING JAYA: Selepas menerima tekanan dan gesaan daripada pemimpina DAP sendiri agar Ronnie Liu melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mahu Exco berkenaan kekal pada kedudukannya sekarang.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat Selangor sepatutnya mengekalkan kedudukan Liu dalam pentadbiran kerajaan negeri supaya rakyat boleh menilai sikap sebenar pemimpin DAP itu.

"Kami harap sangat agar Liu dikekalkan, biar rakyat tengok dan nilai sepuas-puasnya sikap pemimpin mereka.

"Kalau beliau kekal, ia sudah pasti akan memberi manfaat kepada BN (Barisan Nasional)," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai gesaan beberapa pemimpin DAP agar Liu melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri bagi membersihkan imej parti itu ekoran kontroversi isu surat sokongan.

Menerusi laporan muka depan The Star hari ini, tekanan berkenaan turut diberikan oleh Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin yang mahu Liu bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan.

Mengulas lanjut Mohamad Khir berkata, kedudukan Liu pasti tidak akan terjejas walaupun menerima tekanan daripada pemimpin partinya sendiri kerana Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan negeri itu merupakan 'anak emas' kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiuasaha Agung, Lim Guan Eng.

"Liu kebal, kedudukannya sentiasa selamat kerana menjadi 'anak emas' dalam DAP. Beliau menjadi kegemaran Guan Eng dan Kit Siang.

"Sebab itu apa yang dilakukannya sentiasa dipertahankan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan, itulah untungnya jadi 'anak emas'... tak kira orang tekan suruh lepas jawatan pun ia tak beri kesan kepadanya," katanya.

Selain itu bekas Menteri Besar Selangor itu mendakwa, pada dasarnya Liu tidak mempunyai keupayaan untuk menjadi seorang exco sebuah kerajaan negeri.

"Macam mana nak jadi pemimpin, perkara-perkara remeh pun beliau tak tahu nak buat, macam mana nak jadi pemimpin?

"Ini memang sikap DAP yang lantik pemimpin ikut pilihan hati mereka... hanya berdasarkan faktor-faktor tertentu," katanya.

Artikel Lain