suria

Kerajaan Tidak Lupa Generasi Akan Datang Dalam Merangka Dasar - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah melupakan generasi akan datang dalam setiap dasar yang dirangka dan program yang dilaksanakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan berazam untuk meninggalkan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi akan datang berbanding yang diwarisi daripada pemimpin terdahulu.

"Begitulah komitmen kerajaan pada hari ini. Kami lakukan semua ini untuk generasi akan datang dan hari ini saya berbuka puasa dengan wajah-wajah masa depan Malaysia," katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di kediaman rasminya Seri Perdana, di sini Khamis.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya sebagai generasi penyambung dan generasi penerus, mereka merupakan golongan yang akan mendapat keuntungan dan manfaat daripada setiap dasar, gagasan dan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Najib berkata antara dasar dan program yang telah dibentangkan ialah gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Kumpulan sasar yang akan mendapat manfaat yang paling besar, bukan golongan yang bukan sudah berumur atau mereka yang sedang bekerja tetapi mereka yang bakal menjadi pemimpin, menjadi golongan profesional yang keluar daripada IPT dan mereka yang tidak dapat masuk universiti, sekurang-kurangnya mendapat kemahiran," katanya.

Katanya mereka merupakan generasi yang akan mendapat manfaat daripada perubahan dan transformasi yang besar kepada landskap negara yang sedang dilakukan pada hari ini. "Jika setiap daripada anda yang keluar daripada IPT mahu mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan, jika mahu menjamin kualiti hidup yang menjadi jangkaan, dan jika mahu hidup dalam sebuah negara yang semakin aman dan makmur pada masa depan, maka segala usaha mesti bermula hari ini," katanya.

Beliau berkata semua itu merupakan tanggungjawab dan sebab itu kerajaan tidak putus-putus berusaha untuk membuat perubahan agar berada pada barisan hadapan.

"Inilah sebabnya kita sedang memperjuangkan transformasi besar kepada negara. Mudah-mudahan dengan sokongan anda, kita akan sampai kepada matlamat yang diharapkan. "Umpamanya dalam menguruskan ekonomi negara, kita telah berjaya untuk mencapai kadar pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini dan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain