suria

KDN Perbaharui Permit Penerbitan Akhbar DAP

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit percetakan akhbar rasmi DAP, The Rocket, kata ketua publisiti parti itu Tony Pua.

Beliau berkata kelulusan itu diberi melalui sepucuk surat bertarikh 18 Ogos, yang dialamatkan kepada setiausaha agung parti Lim Guan Eng.

"Kami menerima surat itu tengah hari ini. Selepas dimaklumkan, seorang petugas kami mengambilnya di KDN di Putrajaya," katanya.

Pua berkata kelulusan itu diberi bagi percetakan The Rocket (edisi bahasa Inggeris), yang permit percetakannya berakhir pada 30 Jun tahun lepas dan edisi Mandarin, yang tamat tempoh permitnya pada November 2009.

Sebelum ini, KDN memberi dua surat tunjuk sebab kepada The Rocket selepas akhbar berkenaan didapati terus diterbitkan walaupun permit percetakan untuk dua edisi berkenaan telah tamat tempohnya.

Bulan lepas, KDN memperbaharui permit percetakan akhbar PAS, Harakah, setelah penerbitnya memberi penjelasan memuaskan dan jaminan untuk mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kementerian itu.

Permit percetakan Harakah tamat tempohnya pada 7 Julai.

KDN juga memberi surat tunjuk sebab kepada Suara Keadilan, surat berita Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan meminta penerbitnya memberi penjelasan tentang beberapa rencana yang disiarkan.

Pembaharuan permit percetakan akhbar itu, yang tamat tempohnya pada 30 Jun, belum diluluskan kerana KDN masih menunggu satu lagi penjelasan daripada PKR berhubung perkara berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain