suria

Bekas Timbalan Pendakwa Raya Diperintah Bela Diri Tuduhan Cuba Lupus Harta Curi

KLANG: Seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap tuduhan cuba melupuskan sebuah kereta mewah milik isterinya yang dilaporkan dicuri, empat tahun lepas.

Hakim Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Lukman Zainuddin, 37, yang bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya antara 1997 hingga 2002.

Mahkamah menetapkan 1 Okt depan untuk tertuduh yang diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff membela diri atas tuduhan itu.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memanggil seramai 14 saksi termasuk isteri Lukman, Siti Zarina Abdul Manaf memberi keterangan.

Siti Zarina, seorang peguam juga merupakan penjamin kepada tertuduh.

Lukman dituduh cuba melupuskan sebuah kereta BMW 318 (i) (A) bernombor pendaftaran ADT 6677 di Pangsapuri Putra Harmoni di Precint 9, Putrajaya, antara 11 malam, 24 Mac 2006 hingga 12.15 pagi, 25 Mac 2006.

Pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain