suria

Yadim Sasar Kumpul 3,000 'Sahabat'

JASIN: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menerusi program ulung Jelajah Sahabat Yadim 1Malaysia pada bulan Ramadan yang dilancarkan Isnin lepas ini menyasarkan lebih 3,000 ahli.

Naib Yang Dipertua Yadim, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin, berkata program yang merentasi semua negeri di Semenanjung itu selain melebarkan dakwah Islamiah juga bagi mendekati masyarakat untuk perpaduan dan kasih sayang.

"Kita akan cuba mengumpul 300 ahli bagi Sahabat Yadim bagi setiap destinasi yang dijelajahi bagi program selama 15 hari ini yang dijangka berakhir pada 30 Ogos ini di Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis berbuka puasa bersama qariah Masjid Ar-Rahman di Kampung Serkam Pulai di sini malam tadi.

Pada majlis itu, lebih 200 belia terdiri dari sukarelawan, ahli pengakap dan kakitangan Yadim bersama penduduk setempat melakukan aktiviti bersama seperti memasak bubur lambuk, berbuka puasa dan solat tarawih.

Melaka adalah destinasi ketiga yang disinggahi program jelajah itu selepas Selangor dan Negeri Sembilan.

Shamsul Najmi berkata program itu juga akan mendekati masyarakat Orang Asli di Pahang dan perkampungan Siam di Kedah. - BERNAMA

Artikel Lain