suria

Surat Sokongan Dikeluarkan Ahli Majlis PBT Akan Diaudit - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid berkata surat sokongan yang dikeluarkan oleh ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan diaudit bagi memastikan tiada kes salah guna kuasa berlaku.

Beliau berkata audit berkenaan akan dijalankan oleh Jabatan Audit Negeri bermula di Majlis Perbandaran Klang (MPK) minggu ini.

Laporan lengkap mengenai audit itu juga akan disiarkan kepada orang awam bagi memberi peluang kepada mereka menilai sendiri mengenai surat sokongan yang dikeluarkan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata sesi dialog bersama rakyat akan diadakan di semua 12 PBT bagi mendapatkan respons, cadangan dan pandangan orang ramai berhubung Pelan Hala Tuju Selangor bagi tahun 2011-2013.

Sesi dialog itu akan bermula pada 21 Ogos ini di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan berakhir pada 6 Sept depan di Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), katanya.

Mengenai penemuan alat perakam video di bilik pejabatnya Selasa lepas yang dipercayai untuk mengintip pergerakan hariannya, Menteri Besar berkata beliau masih menunggu siasatan pakar tempatan berhubung perkara itu.

Katanya pemeriksaan berkala akan dilakukan di pejabat beliau dan Exco kerajaan negeri bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang. - BERNAMA

Artikel Lain