suria

Polis Kesal Arjunan Enggan Beri Kerjasama Bantu Siasatan Kes Timbalan Menteri

PETALING JAYA: Polis kesal dengan tindakan ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) M.S Arjunan yang enggan memberi kerjasama dan menyembunyikan bukti berkenaan dakwaan seorang timbalan menteri terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata sikap Arjunan itu hanya akan melewatkan proses siasatan yang sedang dilakukan.

"Beliau telah datang memberi keterangan tetapi tidak memberi kerjasama yang diharapkan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Arjunan yang dia mempunyai bukti kukuh.

Sebelum ini Arjunan telah membuat laporan polis yang mendakwa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejateraan Bandar Datuk M.Saravanan terlibat dalam kegiatan pelacuran dan pengedaran dadah.

Arjunan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan, Selasa.

Bagaimanapun, Saravanan yang juga Naib Presiden MIC menafikan dakwaan itu yang dianggapnya serangan untuk membunuh karier politiknya.

Semalam dalam sidang medianya Arjunan menyatakan mempunyai bukti kukuh, namun ianya hanya akan diberikan kepada peguamnya dan mendedahkannya setelah kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Musa berkata Arjunan sepatutnya tahu bukti yang dimilikinya itu adalah penting bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap dakwaan yang dibuatnya.

"Kalau dia hanya nak bagi lawyer bukti tersebut, suruhlah lawyer yang siasat, kerana polis menyiasat berdasarkan bukti," katanya.

Musa berkata sekiraya terdapat asas yang kukuh berhubung dakwaan itu barulah polis akan memanggil Saravanan untuk memberi keterangan.

"Sudah tentu kita akan panggil (Saravanan)...tapi kita kena tengok dulu keterangan dari pemberi maklumat itu dan bukti-bukti yang dimiliki, kalau tidak ada keterangan bagaimana kita nak ambik keterangan orang yang didakwa.

"Kita nak tahu tarikh, masa bila ia berlaku, siapa mangsanya...kalau tidak ada mangsa, macamana nak siasat," katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Kenaikan Pangkat Secara Medan di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, Rabu.

Beliau juga berkata sekiranya Arjunan enggan memberi kerjasama tersebut, maka dakwaan yang dibuatnya itu hanya berupa tohmahan semata-mata.

"Jangan berani cakap di luar sahaja dan bila polis panggil beri keterangan tidak beri kerjasama yang sepatutnya. Beliau harus dedahkan bukti tersebut," katanya.

Terdahulu, Musa menganugerahkan kenaikan pangkat secara medan kepada Lans Koperal Hosin Senawi berdasarkan kejayaannya menumpaskan seorang penjenayah yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan tiga rekod "wanted" serta merampas dua pucuk pistol di Jalan SP/26, Serdang Perdana, Seri Kembangan pada 28 Jun lepas.

Musa berkata, penganugerahan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diberikan kepada anggota yang menunjukkan keberanian dan kecekapan luar biasa ketika menjalankan tugas.

"Ini merupakan kali kedua anugerah seperti ini diberikan. Kejayaan anggota tersebut seharusnya dijadikan teladan oleh anggota-anggota lain agar menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti," katanya.

Hosin, 29, yang kini bertugas sebagai anggota siasatan jenayah NKRA "hot spot team" di Balai Polis Bukit Puchong, di sini dinaikkan pangkat pemangku Koperal. - BERNAMA

Artikel Lain