suria

Polis Ampang Tumpas Geng Curi Motor 'Wan Tonggek'

KUALA LUMPUR: Riwayat geng curi motosikal 'Wan Tonggek' yang beroperasi di sekitar Ampang sejak awal tahun ini berakhir pada Ahad lepas dengan penangkapan 11 orang termasuk seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata kesemua mereka termasuk seorang warga Indonesia dan sepasang suami isteri yang berusia antara 18 dan 24 tahun ditahan dalam dua serbuan di sekitar daerah itu pada Jumaat dan Ahad lepas.

Ekoran itu polis yakin dapat menyelesaikan 13 kes kecurian motosikal di sekitar Ampang yang dipercayai dilakukan kumpulan tersebut, katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

"Tangkapan pertama pada Jumaat lepas adalah terhadap dua lelaki yang ketika itu sedang menunggang motosikal di Kampung Ampang dan siasatan lanjut polis telah menemui tiga buah motosikal curi pelbagai jenis di rumah mereka," katanya.

Tindakan susulan dua hari kemudian menyaksikan penahanan sembilan lagi suspek dan pemeriksaan di rumah masing-masing yang terletak di sekitar daerah itu menemukan 10 buah motosikal dan tiga rangka motosikal.

Beliau berkata selain penganggur, geng itu juga disertai penghantar surat dan mekanik yang dipercayai memudahkan lagi kegiatan mereka.

"Polis percaya suspek menjual komponen tersebut dengan harga murah kepada penghantar surat yang menggunakan motosikal sebagai kenderaan utama untuk bekerja atau kepada mat-mat rempit yang menggunakan komponen tersebut ke atas motosikal mereka untuk berlumba.

"Kumpulan itu dianggap unik kerana terdapat mekanik dan mereka mengetahui tentang harga komponen di pasaran yang memudahkannya untuk berurus niaga dengan pelanggan," katanya.

Abdul Jalil berkata kumpulan itu juga dapat melakukan jenayah dengan cekap menerusi pembahagian tugas yang mana tiga daripada mereka berperanan untuk mencuri dan menjual komponen, manakala selebihnya ditugaskan menyimpan komponen motosikal curi berkenaan.

Siasatan juga mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencuri motosikal dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.- BERNAMA

Artikel Lain