suria

Nelayan Masih Hadapi Kemungkinan Diambil Tindakan

PUTRAJAYA: Walaupun kesemua nelayan yang didakwa menceroboh perairan Indonesia dibebaskan hari ini, mereka masih berhadapan dengan kemungkinan diambil tindakan setelah lokasi sebenar mereka diketahui nanti.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata kedua-dua negara mengambil sikap rasional dengan membebaskan kesemua yang ditahan atas semangat kejiranan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku pada bulan Ramadhan.

"Mengenai isu siapa yang betul dan salah, kita akan berbincang dan menentukan kemudian. Ia tidak perlu ditentukan sekarang. Jika anda melalui semua proses tersebut, mereka akan ditahan lebih lama," katanya kepada pemberita pada hari Selasa.

Dalam kejadian pada Jumaat lepas, tujuh daripada 15 nelayan tempatan itu ditahan dan dipercayai dibawa ke perairan Indonesia oleh sebuah bot penguatkuasa perikanan negara itu ketika menangkap ikan di perairan Kota Tinggi kerana didakwa menceroboh perairan Indonesia.

Pasukan Gerakan Marin Malaysia pula dilaporkan menahan tiga orang petugas kementerian berkenaan ketika mereka sedang dalam proses menahan nelayan Malaysia itu.

Beliau berkata banyak lagi sempadan perairan negara yang perlu diselesaikan, dan ia akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Khas kedua-dua negara pada mesyuarat tahunan September ini serta di antara Menteri Luar di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Mengenai tindakan rakyat Indonesia yang menyertai demonstrasi "Ganyang Malaysia" di Kedutaan Malaysia semalam, Anifah berkata tindakan itu adalah tidak wajar dan Malaysia telahpun menghantar nota bantahan melalui Kedutaan Malaysia di sana semalam.

"Ia menyedihkan kami. Kenapa perlu melakukannya. Mereka tidak perlu melakukan sedemikian semata-mata untuk menyampaikan mesej," katanya.

Anifah sebelum itu menerima kunjungan keluarga Yong Vui Kong, rakyat Malaysia yang dihukum mati di Singapura, bagi meminta bantuan kerajaan untuk bagi membebaskan lelaki berusia 22 tahun itu.

Beliau berkata kerajaan telahpun mengambil langkah proaktif dengan menyerahkan surat pengampunan kepada kerajaan Singapura 20 Julai lalu, dan ia merupakan satu-satunya langkah yang boleh diambil kerajaan melalui saluran diplomatik.

Bagaimanapun, kerajaan akan tetap memantau perkara tersebut, katanya.

Yong, ditangkap pada 13 Jun 2007 dan didapati bersalah pada 7 Jan 2009 kerana mengedar 47 gram dadah jenis diamorfina iaitu kesalahan berat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura. - BERNAMA

Artikel Lain