suria

Hapuskan Ekuiti Melayu Cadangan Kongres Ekonomi Cina Berbaur Hasutan - Pakar Undang-Undang

PETALING JAYA: Desakan Kongres Ekonomi Cina Malaysia supaya hak ekuiti penyertaan 30 peratus Bumiputera sektor ekonomi negara dihapuskan merupakan satu cadangan berbaur hasutan.

Sambil menyifatkan tindakan tersebut bertentangan dengan konsep 1Malaysia, pakar Undang-Undang Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata cadangan itu jelas menunjukkan kaum Cina tidak menghormati hak dan kedudukan Bumiputera di negara ini.

"Perkara ini sudah melampau dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan yang kita hormati selama ini.

"Bumiputera mempunyai hak untuk mengekalkan ekuti 30 peratus dalam bidang ekonomi kerana ia termaktub dalam artikel 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Beliau yang juga pensyarah undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menegaskan, tindakan tersebut tidak wajar berlaku kerana ekonomi Malaysia dimonopoli oleh kaum bukan Bumiputera.

"Apa lagi yang mereka nak semuanya telah diberikan oleh orang Melayu kepada mereka. Sikap diplomatik dan apologetik orang Melayu juga menyumbang kepada terjadinya perkara ini.

"Kaum bukan Bumiputera umpama ‘kaduk naik junjung’ kerana orang Melayu sendiri sanggup berkompromi dan memberikan hak mereka sedikit demi sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kongres Ekonomi Cina Malaysia yang menuntut hak ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat-peringkat.

Dalam persidangannnya Sabtu lalu, Kongres Ekonomi Cina Malaysia juga mahu kerajaan mengamalkan sistem tender terbuka dalam penawaran kontrak kerajaan agar persaingan adil dan tidak berat sebelah dalam bidang perniagaan tempatan dapat dicapai.

Tuntutan itu adalah antara 12 deklarasi yang terkandung dan diluluskan dalam kongres ekonomi yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur kelmarin.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata isu tersebut tidak wajar dibangkitkan kerana pemimpin-pemimpin terdahulu telah duduk semeja untuk berbincang mengenai hak keistimewaan orang Melayu yang perlu dipelihara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Ditanya sama ada permintaan supaya hak ekuiti Bumiputera dihapuskan menunjukkan kaum Cina tidak faham mengenai Perlembagaan negara, Shamrahayu berkata: "Saya tidak fikir mereka tidak faham, sebaliknya mereka mahu hak kesamarataan dalam semua perkara."

Jelasnya, hak kesamaratan tidak mungkin boleh dilaksanakan kerana tindakan kaum Cina menggesa kerajaan menghapuskan hak ekuti Bumiputera akan mengundang perbalahan kerana ia merupakan satu tindakan yang berunsur hasutan.

"Kenapa lewat kebelakangan ini mereka kembali mempertikaikannya? Sudah tiba masanya pemimpin politik juga campur tangan dan bersikap lebih vokal dalam mempertahankan hak Bumiputera.

"Mereka tidak boleh memikirkan kepentingan politik dan menggadaikan hak orang Melayu hanya kerana mahu meraih sokongan orang bukan Melayu. Persepsi ini harus dibetulkan,” ujarnya.

Artikel Lain