suria

Empat Saki-Baki 'Geng Styer' Diberkas Selepas Menyamun Premis Makanan Segera

KUALA LUMPUR: Empat lelaki yang dipercayai terlibat menyamun sebuah restoran makanan segera di Shah Alam ditahan dalam satu serbuan polis di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya awal hari Rabu, hampir sejam selepas mereka melakukan samun itu.

Empat suspek berumur antara 24 hingga 29 tahun dan bersenjatakan sebilah parang itu menyamun lapan pelanggan di premis makanan segera di Shah Alam kira-kira pukul 12.15 malam dan menginap di hotel itu.

Siasatan polis mendapati suspek merupakan saki baki kumpulan "Styer" yang ditumpaskan polis beberapa tahun lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mamah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata hasil risikan, polis menyerbu bilik hotel itu kira-kira pukul 1.05 pagi.

Polis percaya kumpulan itu akan menginap di hotel selepas melakukan samun dengan harapan kegiatan jenayah mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa, katanya.

"Ketika serbuan di hotel itu, polis terpaksa mengetuk pintu berkali-kali sebelum seorang daripadanya membuka pintu dan ketika itu mereka sedang berehat," katanya.

Hasil serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan termasuk dua komputer riba, lapan telefon bimbit, 28 keping kad ATM serta kunci dan sebuah kereta jenama Proton Waja.

Omar berkata polis percaya kumpulan yang sama terlibat menyamun pelanggan di sebuah premis makanan segera di Lembah Klang minggu lepas selain aktif menyamun individu yang mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman bermula hari ini hingga Rabu.

"Geng Styer" terbabit dalam beberapa siri rompakan bank di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor sejak Ogos 1999 dan pada 18 Januari 2000, geng itu terlibat dalam rompakan berjumlah RM440,000 di sebuah bank di Taman Sri Serdang. - BERNAMA

Artikel Lain