suria

Tiada Kenaikan Harga Mendadak Di P. Pinang

GEORGE TOWN: Kebanyakan peniaga di Pulau Pinang termasuk di bazar Ramadan mengekalkan harga lama untuk makanan dan barang keperluan harian.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, M.Guna Selan berkata, hasil pemantauan pihaknya sejak hari pertama umat Islam berpuasa mendapati kebanyakan peniaga itu mematuhi peraturan tanda harga yang ditetapkan.

"Cuma terdapat beberapa peniaga menaikkan harga kuih dan minuman antara 10 sen dan 20 sen tetapi ia tidak begitu ketara dan pengguna boleh membuat pilihan sama ada ingin membeli di gerai itu atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Guna Selan berkata, harga ayam di pasaran di negeri ini masih terkawal iaitu antara RM6.90 dan RM8 sekilogram.

"Kebanyakan peniaga menjual ayam pada harga RM7.20 dan RM7.50. Ada dua pasar di negeri ini menjual ayam dengan harga RM8," katanya.

Guna Selan berkata, berdasarkan pemantauan penguatkuasa, tidak ada laporan berkaitan peniaga menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain