suria

Salah Pembeli Kereta Ditarik - Mohd Bakri

KUALA LUMPUR: Berdasarkan sumber Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), hanya 18 kes jenayah dilaporkan membabitkan penarik kereta dari tahun 2008 sehingga kini.

Daripada jumlah itu, sebanyak lima kes dilaporkan pada 2008, lapan kes (2009) dan lima kes (dari Januari 2010 sehingga kini).

Bagaimanapun, trend peningkatannya tetap ada setiap tahun termasuk yang terkini. Pengarah JSJ Bukti Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, mereka ditugaskan untuk menarik kereta apabila penyewa gagal membayar ansuran pinjaman kenderaan.

“Jika penyewa tidak mahu dikenakan tindakan tarik kereta, mereka sepatutnya bayar atau berbincang dengan institusi kewangan sekiranya mempunyai masalah.

“Jangan tunggu sampai kereta ditarik dan kemudian tidak puas hati sehingga mencetuskan pergaduhan. Itulah punca masalah,” katanya kepada Mingguan mStar di sini.

Mohd Bakri berkata, pergaduhan di luar kawalan mengakibatkan kecederaan sekaligus menunjukkan penarik kereta seolah-olah berlagak samseng.

“Jangan beri ruang dan peluang kepada penarik kereta. Mereka tidak akan mencari anda sekiranya anda sudah bayar tepat pada waktunya,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan terdapat segelintir penarik kereta mengambil kesempatan dan menyalahgunakan ‘kuasa’ mereka.

Tindakan kekerasan digunakan untuk menarik kereta dan ‘menyimpan’ kereta tersebut dan menipu penyewa bagi mendapatkan habuan tambahan.

Walaupun jumlah kes jenayah membabitkan penarik kereta tidak banyak, namun Mohd Bakri berkata, kemungkinan mangsa tidak tampil membuat laporan polis.

Jelasnya, pembeli mempunyai hak membeli kereta dan meminjam daripada institusi kewangan malah mempunyai batasan yang perlu dipatuhi penarik kereta.

“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menarik kereta tanpa menunjukkan dokumen sah dan perkara itu perlu dimaklumkan kepada penyewa.

“Sama ada penarik kereta atau penyewa, mereka sepatutnya tidak bertindak melulu kerana ia adalah salah dari segi undang-undang,” tambahnya lagi.

Kebanyakan kes adalah pergaduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (sengaja mencederakan) dan Seksyen 323 kanun sama (sengaja mencederakan dengan senjata).

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penyewa agar tidak menggunakan ruang dan peluang itu kerana akan menjerat diri sendiri.

“Penyewa juga tidak sepatutnya menyorok kereta kerana institusi kewangan akan menggunakan khidmat pihak ketiga untuk mendapatkannya,” ujarnya.

Melalui pindaan Akta Sewa Beli 1967, terdapat cadangan untuk mengenakan permit kepada syarikat penarik kereta dan pekerjanya untuk menjalankan kegiatan itu.

Mohd Bakri berpendapat, cadangan itu merupakan usaha baik bagi menjaga kepentingan penyewa dan institusi kewangan.

Beliau menambah, ia turut membantu mengenal pasti individu yang melakukan kesalahan termasuk dalang atau sindiket berkaitan kegiatan menarik kereta.

“Ia adalah pengawasan bagi memastikan syarikat penarik kereta dan pekerjanya menjalankan kegiatan tersebut secara sah.

“Mereka boleh dikenakan tindakan sekiranya melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dan PDRM akan bertindak berdasarkan kesalahan itu,” ujarnya.

Antara kesalahan lain seperti di bawah Seksyen 447 (pencerobohan rumah), Seksyen 417 (menipu), Seksyen 379 (mencuri) masing-masing Kanun Keseksaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain