suria

Remaja Merogol Dipenjara Enam Tahun

SHAH ALAM: Seorang pembantu jualan yang mengaku bersalah atas tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan satu, dua tahun lalu, mendakwa dirinya mengalami konflik jiwa disebabkan kedudukannya sebagai seorang anak angkat.

Pengakuan Nur Muhammad Abdul Khalid, 24, itu dibuat di Mahkamah Sesyen di sini Isnin, dalam rayuannya bagi meringankan hukuman bagi kesalahan tersebut yang dilakukan terhadap mangsa yang diberi minuman berisi pil khayal.

Mangsa yang baru dikenali pada hari kejadian dirogol selepas tidak berdaya untuk melawan kerana berasa sakit kepala.

Tertuduh yang mengaku salah di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar didakwa melakukan kesalahan pada pukul 7.30 petang, 20 Oktober 2008 di rumah bernombor A-11-7, Apartmen Batai, Jalan SH ½, Selayang Heights, Batu Caves, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Kalaiyarasi mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain mendakwa dirinya mengalami konflik, tertuduh juga mengakui terpengaruh dengan rakan-rakan salah yang dikenaliknya sejak berusia 22 tahun.

“Saya juga perlu membantu ayah angkat yang bekerja sebagai penjual ikan dengan pendapatan RM1,500 sebulan. Ibu angkat saya pula baru sahaja menjalani pembedahan kanser tiroid,”tambahnya.

Latifah selepas menimbangkan rayuan tersebut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula Isnin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain