suria

Pindaan Akta Sewa Beli: Penarik Kereta Wajib Berlesen

PETALING JAYA: Cadangan pindaan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010 akan melindungi pengguna apabila ia diwartakan kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai amaran kepada mana-mana pihak demi melindungi kepentingan pengguna.

Menurut beliau, terdapat kekeliruan di kalangan penyewa (istilah bagi pemilik kereta) mengenai pindaan akta itu yang hanya merujuk kepada institusi kewangan dan penarik kenderaan.

“Kita memang tidak merujuk perkara itu secara terus kepada pengguna kerana banyak kes dilaporkan melibatkan institusi kewangan dan penarik kenderaan kerana ia bagi memaklumkan peraturan lebih jelas kepada mereka bagi menangani masalah pengguna dianiaya,” katanya kepada Mingguan mStar.

Pindaan itu tidak membenarkan institusi kewangan menarik kenderaan yang gagal membayar ansuran tetapi telah melunaskan 75 peratus daripada keseluruhan harga pinjaman sewa beli.

Ini kerana pada masa ini terdapat insititusi kewangan bertindak menarik kenderaan pada bila-bila masa walaupun nilai bayaran yang sudah dilunaskan.

“Dengan pindaan ini, mereka tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri tanpa bertimbang rasa dan semua tindakan sewa beli perlu mengikut peraturan.

“Penyewa yang gagal membuat bayaran bulanan tetapi sudah melunaskan 75 peratus pinjaman adalah penyewa telus kerana mampu membayar sehingga ke tahap itu,” ujarnya.

Di bawah Akta Sewa Beli 1967 menyebut sekiranya pinjaman kenderaan dibayar kurang daripada satu pertiga, maka pihak bank boleh mengambil kereta.

Bagaimanapun sekiranya peminjam telah membayar melebihi kadar tersebut, sebarang tindakan perlu mendapat kebenaran mahkamah.

Wajib ada permit

Pindaan itu turut melibatkan pengeluaran permit daripada kementerian bagi aktiviti menarik kereta.

Menurut Ismail Sabri, syarikat penarik kereta dan pekerjanya diwajibkan berdaftar dengan kementerian.

“Pengeluaran permit ini bertujuan memudahkan kegiatan menarik kereta yang dijalankan mereka dipantau dengan penguatkuasaan peraturan berkaitan.

“Ia dilihat sebagai proses saringan bagi mengenal pasti syarikat dan pekerja yang benar-benar layak menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya.

Dalam proses saringan itu, KPDNKK akan meneliti latar belakang mereka sekiranya sebelum ini terdapat rekod jenayah dan salah laku.

Katanya, antara kes jenayah melibatkan penarik kereta seperti pecah masuk rumah, mengurung, mencederakan dan mencuri barang milik mangsa.

Melalui pindaan itu, mana-mana syarikat atau pekerja yang didapati melakukan kesalahan akan digantung atau dibatalkan permitnya.

Berdasarkan Akta Sewa Beli 1967 ketika ini, penyewa mempunyai hak dari segi perolehan salinan perjanjian sewa beli, maklumat mengenai akaun, penyata baki belum jelas.

Ismail Sabri berkata, pindaan akta itu juga akan menambah hak penyewa dengan memberikan ‘pilihan pertama’ apabila kereta ditarik kerana gagal membayar pinjaman.

Jelasnya, penyewa mungkin gagal membuat bayaran bulanan, namun mereka diberi peluang untuk ‘membeli semula’ kereta itu sebelum diputuskan untuk dilelong.

Cadangan itu turut membantu membanteras sindiket yang menjual kereta penyewa pada harga jauh lebih murah malah tidak berpatutan dengan nilai pasaran.

“Lebih buruk apabila mereka terpaksa pula menjelaskan ‘hutang tambahan’ melalui caj-caj lain seperti khidmat tarik kereta, sewa simpan kereta di stor dan khidmat membuat lelongan,” katanya.

Beliau menambah, geran kereta turut dicadangkan supaya ia diberikan hak kepada penyewa meskipun pinjaman belum dilangsaikan sepenuhnya.

Ini katanya, bagi memberi jaminan hak penyewa supaya sebarang tindakan perlu mengikut peraturan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain