suria

Permintaan Tinggi Musim Perayaan, Bunga Api Dibawa Masuk Sedikit Demi Sedikit

PADANG BESAR: Berikutan permintaan ke atas bunga api yang tinggi semasa musim perayaan, penyeludup membawa masuk bahan itu sedikit demi sedikit ke negeri ini bagi mengelak tindakan pihak berkuasa.

Ini berikutan penemuan sembilan kotak bunga api yang dipercayai diseludup dari Thailand oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dalam sebuah kawasan semak berhampiran sebuah gudang haram di Kampung Melayu di sini, semalam.

Komander UPP Perlis, Deputi Supritendan Zakaria Abdul Rahman berkata, bunga api berjenama "torta Special Coconut" itu yang dianggarkan bernilai RM6,300 itu dipercayai diseludup masuk sedikit demi sedikit ke kawasan itu sebelum dipasarkan di negara ini.

Katanya, semasa mengadakan operasi di sebuah gudang haram tidak bernombor di Kampung Melayu pukul 5 petang, pasukan itu terserempak dengan sebuah kenderaan pikap Thailand yang tiba-tiba memecut keluar dari situ.

Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar gudang itu, UPP menemui bunga api yang disembunyikan dalam kawasan semak bersebelahan dengan sebuah lori buruk, katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kegiatan itu dilakukan oleh penduduk tempatan berikutan permintaan yang tinggi menjelang sambutan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, harga bunga api itu di pasaran Thailand ialah RM300 sekotak berbanding RM700 di pasaran negara ini dan harga yang lebih tinggi itu mendorong kegiatan penyeludupan itu.

Bunga api yang dirampas itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Kes itu akan di siasat di bawah peraturan 74 Seksyen 4 (2) Akta Bahan Letupan 1957 jika disabitkan kesalahan akan di denda RM10, 000 atau penjara selama tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain