suria

Lesen Baru Peminjam Wang Masih Dibekukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menarik balik pembekuan lesen baru untuk peminjam wang walaupun ada rayuan daripada Persatuan Peminjam Wang Berlesen Malaysia, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

Beliau berkata, pembekuan itu masih diteruskan buat sementara waktu ini, dan kini terdapat 2,811 peminjam wang berlesen di negara ini.

Katanya, adalah penting bagi peminjam wang berlesen mematuhi saluran undang-undang jika mereka menghadapi masalah dalam tuntutan wangnya.

Ini kerana menurutnya Akta Peminjam Wang 1951 telah dipinda untuk mengenakan hukuman lebih berat sehingga RM250,000 dan penjara tiga tahun jika terus mengganggu peminjam.

Setakat ini, tidak kurang 100 lesen telah dibatalkan atau dalam proses untuk berbuat demikian sementara menunggu kes mereka diselesaikan di mahkamah, kata beliau.

"Jika anda mengenakan kadar faedah yang lebih yang dibenarkan dalam akta itu dan memaksa pembayaran semula secara taktik kekerasan, anda berkemungkinan berhadapan dengan penguatkuasaan," kata beliau.

Bagaimanapun, Chor berkata banyak peminjam wang berlesen menjalankan perniagaannya dengan cara betul dan mengikut akta tersebut dan sumbangan mereka terhadap ekonomi negara tidak boleh dipertikaikan.

Sebagai contoh pada tahun lepas, beliau berkata jumlah keseluruhan pinjaman ialah RM4.2 bilion yang diberikan kepada syarikat dan individu.

"Ini menunjukkan bahawa mereka masih ada peranan khasnya bagi pinjaman pinjaman penyambung," kata beliau.

Oleh itu, beliau menggesa peminjam wang berlesen membuang imej "ceti" dengan lebih profesional dan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ada agar mereka boleh dilihat sebagai "pembiayaan mikro" dan bukan semata-mata hanya menjadi peminjam wang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain