suria

Bekas Pengetua Asrama Didakwa Cabul Budak

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengetua asrama golongan miskin dan anak yatim didakwa di Mahkamah Majistret di sini Selasa, atas tuduhan mencabul salah seorang penghuni asrama tersebut.

Abddul Rahman Ramani, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan meraba kemaluan dan buah dada mangsa yang berusia 14 tahun pada pukul 8 malam, 20 Oktober 2009 di Asrama Baitul Ummah, Taman Setapak Indah, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Norasyikin menawarkan jaminan RM15, 000 terhadap tertuduh kerana kesalahan yang terlibat adalah kesalahan seksual.

Bagaimanapun, jumlah itu dibantah oleh peguam M. Govindaraju yang mewakili tertuduh atas alasan ia terlalu tinggi untuk tertuduh yang kini bekerja sendiri.

“Tertuduh akan dipenjarakan jika tidak mampu membayar jaminan sehingga perbicaraan,” katanya dan mendakwa kes itu melibatkan kejadian ‘balas dendam’.

Aizatul Akmal menetapkan jaminan tertuduh pada jumlah RM7,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 14 September depan untuk penyerahan dokumen.

Difahamkan, asrama tersebut tidak lagi beroperasi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain