suria

Anak Pegawai Kedutaan Uzbekistan Mati Jatuh Kondominium

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Uzbekistan berusia 24 tahun dijumpai mati dipercayai terjatuh dari tingkat paling sebuah kondominium 16 tingkat di Ampang Avenue di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata lelaki itu, anak kepada pegawai di Kedutaan Uzbekistan di sini, cedera parah di kepala dan badan ketika ditemui pada 10.30 pagi tadi.

Ketika kejadian, lelaki itu yang merupakan pekerja di sebuah kolej swasta di ibu negara, berada di rumah bersama ibu bapa dan adik perempuannya.

"Kematiannya hanya disedari ahli keluarganya selepas mereka terdengar bunyi bising suara jiran di perkarangan unit kondominium itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

"Dari keterangan keluarganya kita mendapati mangsa mengalami tekanan sebelum kejadian ini berlaku," kata Abdul Jalil.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain