suria

Sindiket Edar Pil Eramin 5 Guna Patung Peragaan Pakaian Tumpas - Polis

BATU PAHAT: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila menahan 17 orang dan merampas 824,500 biji pil Eramin 5 bernilai RM12.37 juta dalam operasi bersama Bahagian Penguatkuasaan Dadah Taiwan, Khamis lepas.

Serbuan serentak pada kira-kira pukul 1 tengah hari itu dibuat di sekitar Ayer Hitam, Johor Baharu dan Lembah Klang.

"Ini adalah rampasan terbesar pil Eramin 5 di negara ini," kata Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di sini Isnin, Zul Hasnan berkata sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan mereka di negara ini lebih setahun lepas dengan menggunakan patung peragaan pakaian untuk menyembunyikan dadah.

"Serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Bahagian Penguatkuasa Dadah Taiwan di premis di Ayer Hitam menemui 529,500 biji pil Eramin 5 yang disorok di dalam 60 patung peragaan pakaian.

"Kesemua patung itu diletakkan dalam 15 kotak yang setiap satu kotak itu berisi empat badan patung," katanya.

Zul Hasnan berkata dalam serbuan di dua rumah di Johor Baharu pula, polis menemui RM295,000 biji pil Eramin 5, 15 kilogram ketamin dan 890 biji pil dormicum, manakala tiada rampasan dadah dibuat dalam serbuan di Lembah Klang.

Beliau berkata mereka yang ditahan ialah 14 lelaki dan tiga wanita terdiri daripada rakyat tempatan, Singapura, Taiwan dan Indonesia.

Polis turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis dan sejumlah wang tunai terdiri daripada mata wang Malaysia dan negara asing termasuk Taiwan, Singapura, China, Kemboja dan Indonesia, katanya.

Kesemua yang ditahan berumur antara 28 dan 74 dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain