suria

Sepasang Kekasih Mengaku Salah Buang Bayi Di Kawasan Kilang Di Melaka

MELAKA: Sepasang kekasih yang bekerja di sebuah kilang di sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini Isnin atas tuduhan membuang bayi perempuan di kawasan Kilang Daibochi di Ayer Keroh di sini pada pagi Rabu lepas.

Mohd Zolhalmi Khamis, 18, dari Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan dan pasangannya seorang remaja berusia 17 tahun 10 bulan, juga beralamat yang sama, dituduh bersama-sama membuang bayi itu kira-kira 1 pagi pada 11 Ogos lepas.

Kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd Zolhalmi dan pasangannya berada dalam kandang tertuduh sewaktu jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Fairuz Johari.

Kedua-dua mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Hazura Hamid meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Ketika merayu hukuman dikurangkan, Mohd Zolhalmi dan remaja perempuan itu berkata keluarga mereka daripada golongan susah.

Mohd Fairuz menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Sept depan untuk laporan akhlak disediakan oleh pihak pendakwaan sebelum menjatuhi hukuman.

Noor Hazura ketika ditemui pemberita berkata laporan akhlak akan disediakan bagi kedua-dua tertuduh kerana berusia di bawah 21 tahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain