suria

Lelaki Disyaki Simbah Isteri, Anak Dengan Asid Ditahan

KUALA TERENGGANU: Lelaki yang dipercayai menyimbah isteri, anak serta ibu mertuanya dengan asid ditahan Isnin ketika sedang bersembunyi dalam semak di Kuala Por Pasir Nering, Hulu Terengganu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Supt K Manoharan berkata penahanan itu dibuat hasil maklumat orang awam mengenai lelaki yang diburu itu bersembunyi di kawasan berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

"Kira-kira tengah hari, polis melihat lelaki terbabit keluar daripada tempat persembunyiannya dengan menaiki motosikal dan dia terus memecut motosikalnya sebaik ternampak polis.

"Lelaki itu dapat ditangkap beberapa meter dari situ," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Manoharan berkata polis menemui sebatang jarum suntikan dadah dan sebilah pisau pemotong sayur dalam poket baju lelaki itu.

Beliau berkata ujian air kecing yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah amphetamine dan morfin.

Manoharan berkata lelaki yang berasal dari Hulu Terengganu itu pernah bekerja sebagai juruselam. Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Berang untuk tahanan reman esok.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi semalam, empat sekeluarga cedera disimbah asid di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Mereka ialah Che Ku Zainab Che Ku Awang, 29, yang cedera di bahagian belakang badan, anaknya Nurul Dahyatul Fazlina Khalid, 8, dan Mohd Irfan Firdaus, 2, yang cedera di muka dan lengan.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah ibu Cik Ku Zainab, Minah Omar, 56. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain