Kes Buang Bayi Disiasat Sebagai Bunuh Atau Cubaan Membunuh - Polis - Semasa | mStar

Kes Buang Bayi Disiasat Sebagai Bunuh Atau Cubaan Membunuh - Polis

KUALA LUMPUR: Kes buang bayi hingga menyebabkan kematian akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala jika bayi berkenaan masih hidup, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 307 kanun sama atas cubaan membunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata polis sedia bertindak mengikut klasifikasi berkenaan bagi kes pembuangan bayi sekiranya ia merupakan langkah terbaik dalam membendung jenayah kejam itu.

Bagaimanapun, katanya keputusan untuk mensabitkan sesuatu kes pembuangan bayi kepada bunuh atau kesalahan lain hanya akan ditentukan oleh Peguam Negara.

Mohd Bakri berkata polis bimbang kes pembuangan bayi akan meningkat tahun ini berbanding tahun lepas, terutamanya melibatkan warga tempatan.

Setakat ini pada tahun ini sahaja seramai 65 bayi dilaporkan dibuang iaitu 26 bayi lelaki, 25 perempuan dan 24 janin yang tidak diketahui jantinanya, kata Mohd Bakri kepada pemberita di pejabatnya di sini Isnin.

"Sepanjang tahun lepas sebanyak 79 kes dicatat iaitu 25 lelaki, 29 perempuan dan 25 janin yang tidak dikenal pasti jantina.

"Pada tahun ini walaupun belum sampai lapan bulan sudah nampak ada peningkatan pembuangan bayi yang amat mengecewakan," katanya.

Mohd Bakri berkata statistik sejak tahun 2005 hingga semalam menyaksikan seramai 472 bayi malang dibuang di seluruh negara, dengan sejumlah 258 ditemui mati manakala 214 masih hidup.

"Ramai yang tidak mahu bekerjasama dengan polis dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang sedangkan pada kebiasaannya individu yang membuang bayi di satu-satu kawasan itu tinggal di sekitar kawasan tersebut.

"Kita mahu masyarakat menyalurkan maklumat agar polis dapat menjalankan tindakan susulan seperti mengesan ibu dan bapa kepada bayi berkenaan," katanya.

Beliau berkata kebanyakan individu yang membuang bayi merupakan warga tempatan namun ada beberapa kes melibatkan warga asing. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain