suria

Ibu Rugi RM15,000 Untuk Bebas Anak Daranya Yang Didakwa Diculik

KUALA LUMPUR: Seorang ibu hari ini kerugian RM15,000 setelah diperdayakan oleh seorang lelaki yang mendakwa telah menculik anak gadisnya dalam satu perbualan menerusi telefon pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata wanita berusia 40 tahun itu, menerima panggilan telefon di rumahnya di Brickfields kira-kira pukul 10 pagi tadi dari lelaki yang tidak dikenali, dan mendengar suara gadis seolah-olah seperti suara anaknya meminta pertolongan.

"Suspek kemudian mengugut mangsa agar memberikan wang sebanyak RM50,000 bagi mendapatkan semula anaknya. Mangsa bagaimanapun hanya memasukkan RM15,000 ke dalam akaun bank suspek memandangkan mangsa tidak mempunyai wang seperti yang dituntut," katanya ketika dihubungi BERNAMA pada hari Isnin.

Khairi berkata setelah sejam memasukkan duit ke dalam akaun suspek, baru mangsa menghubungi anaknya yang berusia 20-an melalui telefon bimbit dan mendapati anaknya selamat dan berada di pejabatnya.

"Anak mangsa sebenarnya tidak diculik.. mangsa hanya diperdaya individu yang tidak dikenali untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah," katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebaik menyedari beliau ditipu.

Khairi berkata polis sedang menyiasat kes itu memandangkan kes seperti ini bukannya pertama kali berlaku.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya apabila menerima panggilan oleh individu yang tidak dikenali yang mendakwa kononnya ahli keluarga mereka diculik. Kenal pasti kedudukan ahli keluarga mereka sebelum mengambil tindakan terburu-buru," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain