suria

Gmun 2010: Platform Bagi Malaysia Kongsi Konsep Perpaduan

KUALA LUMPUR: Persidangan Model Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (GMUN) 2010 boleh menjadi platform bagi Malaysia untuk berkongsi konsep perpaduan dalam konteks penduduk pelbagai kebudayaan.

Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed berkata Malaysia telah menerima pujian antarabangsa dan menjadi tanda kemegahan bagi keamanan dan keharmonian.

"Bagaimana ianya mungkin dengan kepelbagaian dan perbezaan bangsa, agama, budaya, bahasa dan sistem kepercayaan apabila negara lain bersusah payah mengekang tekanan dalam urus tadbir dalaman masing-masing? "Jawapannya terletak dalam pendekatan kami yang pada dasarnya diterima oleh semua," katanya semasa menghoskan jamuan malam menyambut peserta GMUN 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Turut hadir pada majlis jamuan tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PBB Bagi Komunikasi dan Maklumat, Kiyotaka Akasaka dan Setiausaha Agung GMUN Estaban Ramirez Gonzalez.

Nohid berkata kerajaan adil dan ikhlas dalam melaksanakan dasar, rancangan dan program bagi memastikan semua pihak mendapat tempat di negara ini.

"Perlembagaan adalah terulung dan dasar diskriminasi diharamkan. Semangat kebanggaan dan kekitaan tidak boleh dipersoalkan," katanya.

Katanya gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggerakkan rakyat dari sekadar toleransi kepada penerimaan sepenuhnya.

"Malaysia telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah persidangan ini tanpa ragu-ragu dengan berdasarkan sebahagian besar daripada pencapaian kami dalam memupuk perpaduan.

"Kami mahu berkongsi pengalaman ini dengan negara-negara lain," katanya.

Persidangan yang bertemakan 'Menuju Penyatuan Tamadun: Merentangi Kebudayaan Bagi Mencapai Keamanan dan Pembangunan' itu akan membincangkan isu seperti rentas hubungan budaya, globalisasi dan perubahan sosioekonomi masyarakat dunia.

Persidangan itu juga menjadi saluran bagi belia melahirkan idea, pendapat dan penyelesian alternatif kepada isu-isu yang telah dibincangkan pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

Resolusi daripada persidangan itu akan dikemukakan kepada Presiden UNGA.

Hampir 500 penuntut universiti dari seluruh dunia menyertai persidangan empat hari itu yang akan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di sini Isnin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain