suria

Tiga Lelaki Nyaris Maut Apabila Kereta Terbabas Rempuh Tiga Pokok

ALOR SETAR: Ketika umat Islam sedang membuat persiapan untuk bersahur, tiga lelaki nyaris maut apabila kereta yang mereka naiki terbalik selepas terbabas memasuki halaman sebuah rumah di sini kira-kira pukul 4.15 pagi ini.

Kereta Proton Wira Aeroback itu terbabas ke halaman sebuah rumah di sini selepas merempuh pokok rambutan, pokok kelapa dan pokok mangga, dan terbalik.

Tuan rumah, Syed Yusof Syed Omar berkata sewaktu kejadian dia mendengar bunyi kereta yang dipandu laju dari arah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim menuju ke Kepala Batas.

"Saya terdengar bunyi dentuman yang kuat seperti menghempap rumah. Saya tunduk dan memejam mata kerana menyangka sesuatu yang buruk akan berlaku," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, Ahad.

"Tiba-tiba keadaan senyap semula dan saya keluar rumah melihat apa yang berlaku. Dalam kegelapan malam itu, saya nampak sebuah kereta terbalik, selepas ia melanggar pokok-pokok yang terdapat di halaman rumah saya," katanya.

Syed Yusof berkata dia terlihat tiga orang lelaki dalam kereta itu yang sedang cuba untuk keluar dari kereta tersebut, dan beliau terus menolong mereka.

Katanya memandangkan persiapan sahur dibuat, ketiga-tiga lelaki kemudiannya dijemput untuk bersahur di rumahnya terlebih dahulu sebelum mereka ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain