suria

Pihak Berkuasa Indonesia Tahan Tujuh Nelayan Tempatan

JOHOR BAHARU: Tujuh nelayan tempatan ditahan dan dipercayai dibawa ke perairan Indonesia oleh sebuah bot penguatkuasa perikanan negara itu ketika menangkap ikan di perairan Kota Tinggi, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Muhammad Sebot berkata kesemua nelayan itu merupakan sebahagian daripada 15 nelayan yang menaiki lima buah bot untuk menangkap ikan di perairan berkenaan.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam semasa kesemua 15 nelayan berusia 23 hingga 63 tahun terbabit berada di kedudukan empat batu nautika tenggara Tanjung Punggai sebelum didatangi sebuah bot penguatkuasa perikanan Indonesia lalu menahan mereka," katanya ketika dihubungi, di sini, Ahad.

Osman berkata bot ronda Pasukan Gerakan Marin yang sedang melakukan rondaan di perairan tersebut kira-kira pukul 10.40 malam, kemudian terserempak dengan lima buah bot nelayan yang dalam perjalanan menuju ke perairan Indonesia bersama sebuah bot dipercayai pihak penguatkuasa Indonesia.

Beliau berkata bot penguatkuasa Indonesia itu terus memecut laju memasuki perairan Indonesia sebaik sahaja diarahkan berhenti oleh Pasukan Gerakan Marin.

Katanya, polis yang memeriksa lima bot nelayan tersebut kemudian menemui tiga anggota penguatkuasa perikanan Indonesia yang lengkap beruniform tetapi tidak memiliki bersenjata api bersama lapan nelayan tempatan.

"Daripada maklumat yang diterima, terdapat tujuh lagi nelayan yang telah dibawa oleh bot penguatkuasa Indonesia tersebut menuju ke perairan Indonesia," katanya.

Katanya, sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan terbaru berhubung nasib tujuh nelayan berkenaan, yang dipercayai dibawa ke Batam, Indonesia.

Polis kini katanya, menahan reman tiga anggota penguatkuasa perikanan Indonesia terbabit sehingga Rabu depan dan lima bot nelayan berkenaan dibawa ke Balai Polis Pengerang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Penggerang, Abu Bakar Mohamad ketika dihubungi berkata kejadian itu melibatkan hubungan dua negara dan harap ia dapat diselesaikan dengan segera. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain