suria

PGM Wilayah Tiga Tingkat Kawalan Cegah Penyeludupan Di Pantai Timur

KEMAMAN: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga akan mempertingkat operasi kawalan di sekitar perairan Pantai Timur bagi mengelak sebarang aktivi penyeludupan terutama mercun, dan bunga api sepanjang bulan Ramadan ini.

Komander PGM Wilayah Tiga, ACP Mohd Saleh Mat Jani berkata, walaupun berhadapan dengan bulan puasa, operasi kawalan dengan menggunakan bot peronda tetap akan dijalankan terutama di kawasan sempadan termasuk Sungai Golok.

"Operasi akan dipertingkatkan terutama di musim perayaan di mana sering berlaku cubaan menyeludup gula, minyak masak, kain tudung, mercun dan bunga api.

"Pada bulan Ramadan tahun lepas sahaja, sebanyak lima kes penyeludupan bunga api dan mercun berjaya dikesan dengan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM55,550," katanya kepada Bernama selepas meninjau rondaan anggota PGM Wilayah Tiga di sekitar Pulau Tenggol, Dungun, Sabtu.

Selain itu, katanya, tumpuan juga akan diberikan terhadap tugas-tugas lain seperti operasi mencegah dan membanteras penyeludupan dadah, senjata api, bantuan mencari dan menyelamat di laut dan kesalahan bersabit Akta Perikanan.

Menurutnya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, PGM Wilayah Tiga dapat menurunkan jumlah kes saman dan tangkapan sebanyak 53 peratus iaitu daripada 195 kes tahun lepas kepada 91 kes tahun ini.

Kes yang paling banyak dikesan ialah melibatkan kesalahan berkaitan dadah iaitu 59 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya satu kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya kawasan perairan Wilayah Timur meliputi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dan ia meliputi tiga pulau berpenghuni, tujuh pulau peranginan berchalet, dan 45 pulau tidak berpenghuni.

Beliau juga berkata, bulan puasa ini juga tidak menghalang PGM Wilayah Tiga melakukan latihan untuk Unit 'Ungerin' (Unit Gempur Marin) yang merangkumi pasukan Unit Skuba dan Jet Ski sebagai langkah untuk meningkatkan kecergasan dan keupayaan pasukan dalam menjalankan tugas-tugas menyelamat dan penguatkuasaan.

Selepas tinjauan itu, Mohd Salleh turut berbuka puasa, bersolat maghrib dan bertarawih bersama anggota dan pegawai PGM yang meronda di Pulau Tanggol. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain