suria

Perkasa Gesa Kerajaan Kekalkan Ekuiti 30 Penyertaan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menggesa kerajaan mengekalkan hak ekuiti penyertaan 30 peratus Bumiputera sektor ekonomi negara seperti mana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dan Model Ekonomi Baru (MBE) yang telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Sambil menyelar tindakan Kongres Ekonomi Cina yang mahu ekuiti Bumiputera dihapuskan secara berperingkat, presiden pertubuhan itu, Datuk Ibrahim Ali berkata, usaha itu menyebabkan rasa bimbang semua pihak termasuk ahli Umno dan orang-orang Melayu.

“Perkasa menentang habis-habisan cadangan kerajaan untuk melaksanakan tender terbuka bagi membangunkan tanah-tanah strategik milik kerajaan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jika tender terbuka dilaksanakan apa akan jadi kepada aset milik Bumiputera sedia ada? Oleh itu kita minta kerajaan mengkaji semula supaya ada cara lain diwujudkan bagi menjaga kepentingan Bumiputera khususnya orang Melayu di negara ini.

“Ini kerana mereka juga bimbang kerana aset yang mereka miliki cuba dihakis sedikit demi sedikit,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman di sini Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kongres Ekonomi Cina Malaysia yang menuntut hak ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.

Semalam, Kongres Ekonomi Cina Malaysia mahu kerajaan mengamalkan sistem tender terbuka dalam penawaran kontrak kerajaan agar persaingan adil dan tidak berat sebelah dalam bidang perniagaan tempatan dapat dicapai.

Tuntutan itu adalah antara 12 deklarasi yang terkandung dan diluluskan dalam kongres ekonomi yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Pada masa yang sama, Ibrahim mendesak GLC yang terlibat dalam pembangunan tanah di kawasan penjara Pudu, Sg Buloh dan Sg Besi memberi perhatian dengan meletakkan harga yang relevan dan mampu dimiliki oleh kaum Bumiputera di negara ini.

“Kita harap sebahagian besar daripada pemilikan tanah di kawasan-kawasan itu dapat dimiliki oleh orang-orang Melayu. Ini bagi memastikan mereka dapat ‘isi’ dan bukannya ‘tulang’ yang tidak berharga.

“Harapan yang tinggi diletakkan kepada Perdana Menteri dalam menghapuskan kebimbangan ini dan pastikan tidak ada ‘napoleon’ di sekeliling beliau yang berusaha untuk menggagalkan agenda Bumiputera di negara ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Perkasa dan Sekretariat Perundingan Melayu akan mengadakan sidang meja bulat tergempar bagi membincangkan secara terperinci mengenai isu berkenaan.

“Kita akan mengadakan persidangan meja bulat ini pada 29 Ogos bagi membincangkan agenda ekonomi Bumiputera dan 12 perkara yang diluluskan oleh Kongres Ekonomi Cina.

“Perkasa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tuntutan supaya kerajaan mengurangkan ekuiti pemilikan 30 peratus kaum Bumiputera.

“Tindakan ini jelas menunjukkan mereka tidak berterima kasih kepada kaum Bumiputera yang telah bertolak-ansur seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan negara sedangkan isu ini sangat sensitif kepada orang Melayu ,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan meneruskan tuntutan Kongres Ekonomi Cina Malaysia tersebut maka kepentingan kaum Bumiputera yang digariskan dalam MBE dan RMK-10 akan menjadi retorik semata-mata.

“Sekiranya kerajaan tidak segera memperbetulkan hal ini, saya yakin Umno akan menerima padah pada pilihan raya umum akan datang. Orang-orang Melayu akan menolak kerajaan pimpinan sekarang.

“Mereka melahirkan rasa marah terhadap tindakan kerajaan dalam beberapa perkara terutamanya soal ekonomi orang Melayu. Jika tidak mereka akan kehilangan sokongan orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, pertubuhan itu akan melancarkan kempen memboikot makan ayam selama seminggu pada minggu depan.

“Kita tahu kenapa harga ayam naik ketika musim perayaan? Ini semua penternak dan pembekal punya angkara. Oleh itu, Perkasa akan lancarkan kempen boikot makan ayam pada 18 atau 19 Ogos ini.

“Kalau pengguna dapat bersabar dan tak makan ayam seminggu kita nak lihat apa akan jadi kepada penternak dan pembekal ayam di negara ini. Silap-silap mereka mungkin beri ayam percuma,” katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya pengguna memberi pengajaran kepada pembekal dan penternak ayam supaya tidak menaikkan harga ayam sesuka hati.

“Kita akan mengedarkan risalah di madrasah dan kawasan tol-tol di seluruh negara. Saya percaya selepas itu harga ayam akan turun,” katanya.

Sehari sebelum menjelangnya bulan Ramadan, harga ayam dilaporkan naik antara 30 sen sehingga 50 sen satu kilogram dan ia menimbulkan kegelisahan di kalangan orang ramai apabila harganya meningkat 100 peratus hari ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain