suria

Penunggang Motosikal Maut Terlanggar Treler Ketika Buat Pusingan U

JELI: Seorang pelajar yang menunggang motosikal maut dirempuh sebuah treler ketika membuat pusingan U berhampiran kawasan Hentian Rehat dan Rawat Gemang (R&R) di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Mohamad Hanafiah Abdul Malik berkata mangsa, Mohd Sahidan Yusoff, 15, dari Kampung Lakota, yang cedera parah di kepala dan muka, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa dikatakan membuat pusingan U di jalan raya berhadapan kawasan R&R itu ketika orang ramai sedang menunggu ketibaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi merasmikan bazar Ramadan pada 5.45 petang.

Katanya, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli itu dalam perjalanan dari rumahnya melalui Jalan Jeli-Tanah Merah, sebelum bertembung treler dari arah bertentangan.

Mohamed Hanafiah berkata jenazah Mohd Sahidan dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan iaitu memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain