suria

Pencuri Pecah Masuk Kedai Emas Larikan Barangan Kemas RM200,000

IPOH: Seorang peniaga kedai emas kerugian lebih RM200,000 apabila barang kemas yang disimpan dalam peti besi kedainya di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar, 50 kilometer dari sini dilarikan pencuri malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt Abdul Ghaffar Mohamad berkata kejadian itu disedari peniaga itu semasa hendak membuka kedainya pada pukul 10 pagi ini.

"Pengusaha berusia 50-an itu yang datang ke kedainya terkejut apabila mendapati peti besi yang mengandungi barang emas telah dipecahkan dan semua barang kemas bernilai lebih RM200,000 hilang," katanya ketika dihubungi, Ahad.

Abdul Ghaffar berkata kejadian itu dipercayai berlaku antara tengah malam tadi hingga awal pagi ini dan ia dipercayai dilakukan oleh lebih daripada seorang.

Beliau berkata penjenayah telah memasuki kedai berkenaan melalui siling dan ia tidak disedari pengawal keselamatan yang berkawal di luar pasar raya itu.

Abdul Ghaffar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar melalui telefon 05-7762222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain