suria

Pemimpin Masyarakat Cina Perle Sedar Mengenai Kepentingan Banci

KUALA LUMPUR: Pemimpin masyakat Cina perlu memainkan peranan dalam menyedarkan anggota masyarakatnya mengenai kepentingan menjayakan program banci penduduk dan perumahan bagi membantu kerajaan membangunkan negara.

Tokoh budayawan dan sejarawan negara Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim berkata masyarakat, khususnya kaum Cina, perlu diberikan kesedaran menyeluruh memandangkan kefahaman kaum itu terhadap kepentingan program banci itu masih ditahap rendah, dan perlu melibatkan semua pihak tanpa terbatas kepada mana-mana parti politik.

"Selain sering meminggirkan diri dari program kerajaan dan pergaulan setempat, mereka (kaum Cina) masih lagi dibelenggu kebimbangan maklumat yang diberikan akan disalah guna," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof pada 11 Ogos lepas bahawa seramai 70 peratus masyarakat Cina masih tidak memberi respons terhadap bancian dengan alasan tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris.

Khoo berkata wakil rakyat juga perlu memainkan peranan memberikan penerangan kepada penduduk terutama yang berada di dalam kawasan seliaan mereka kerana tanpa bancian yang menyeluruh adalah sukar bagi kerajaan membuat perancangan pembangunan yang lebih strategik.

Bagi Khoo masalah pembanci untuk mendapatkan maklumat dari masyarakat Cina bukan kerana masalah bahasa semata-mata, tetapi kerana kebimbangan mereka mengenai motif kedatangan kumpulan pembanci, terutama bagi golongan tua.

"Sebelum pilihan raya tahun 1955, saya sebagai murid sekolah telah diminta menolong membuat kajian di kampung-kampung baru orang Cina bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka tentang pilihan raya, dan selalunya jawapan yang diberikan ialah mereka tidak tahu dan tak faham apa itu pilihan raya.

"Ini bermakna bukan masalah bahasa yang menjadi halangan, tetapi apa yang dapat difahami ialah masyarakat Cina masih bimbang sama ada kedatangan kumpulan pembanci ini bertujuan baik atau sebaliknya," katanya.

Khoo berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang baru malah ketika di bawah pemerintahan British dahulu masyarakat Cina juga selalu mengasingkan diri dengan apa yang berkait dengan pemerintah.

"Seharusnya setelah lebih 50 tahun Merdeka, isu ini tidak timbul lagi.

Jadi, wakil rakyat perlu memainkan peranan menyedarkan penduduk melalui penerangan dan fahamkan kepada mereka apa sebenarnya fungsi bancian itu," katanya.

Bagi Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Lim Swee Tin pula, masalah kefahaman bahasa tidak harus berlaku kerana pembanci menggunakan soalan yang sangat mudah, ringkas tanpa istilah rumit yang boleh menyukarkan penduduk untuk memahami dan menjawabnya.

Beliau berkata, jika berpandukan kepada Dasar Bahasa Kebangsaan yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran pada 1976, adalah mustahil masih wujud rakyat Malaysia yang berumur sekitar 30-an tidak boleh memahami bahasa Melayu.

"Sepatutnya isu tidak memahami soalan tidak timbul lagi kecuali ketika pembanci datang yang ada di rumah hanyalah golongan tua yang tidak memahami bahasa persuratan...ini mungkin munasabah.

"Saya pun hairan mengapa hal seperti ini yang dianggap paling ringkas boleh terjadi, malah saya dapati bahasa yang digunakan adalah sangat mudah dan mesra masyarakat, dan bagi kaum Cina mereka seharusnya faham bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, sebagai warganegara mereka seharusnya boleh berinteraksi dengan menggunakan bahasa itu," katanya.

Lim berkata, jika masalah bahasa ini masih menjadi penghalang, kerajaan perlu memikirkan kaedah untuk memilih pembanci yang menguasai pelbagai bahasa seperti Melayu, Cina, Inggeris dan Tamil ataupun setiap pembanci disertai seorang penterjemah yang boleh menguasai semua bahasa itu.

Katanya, dengan tempoh akhir bancian berbaki seminggu, cadangan itu boleh diaplikasikan kerana khuatir sekiranya perangkaan yang diperolehi tidak tepat dan menyeluruh bakal menyukarkan kerajaan untuk merangka pembangunan, khususnya kepada kawasan dan kaum itu sendiri.

Beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat setempat seperti pusat pendaftaran dan daftar pengundi sepertimana dilakukan ketika menjelang pilihan raya yang membolehkan penduduk datang memberikan maklumat dan menjawab soalan-soalan bancian tersebut.

Lim turut menyokong gesaan Khoo supaya pemimpin masyarakat, terutama wakil rakyat dan ahli politik turut terlibat dalam menyedarkan masyarakat Cina mengenai pentingnya pembancian penduduk.

"Mereka boleh menubuhkan pasukan sukarela bancian sepertimana pasukan daftar pengundi untuk pilihan raya. Disamping pembanci sebenar, pasukan sukarela ini boleh membantu terutamanya jika timbul isu pemahaman bahasa...ini ialah tanggungjawab kita sebagai rakyat, apabila ini berlaku perkara ini akan menjadi sangat mudah," katanya.

Banci 2010 dijalankan dalam tiga fasa dan kini telah memasuki fasa terakhir bermula pada 7 Ogos lalu dan berakhir 22 Ogos ini. Fasa I dan II telahpun dijalankan, masing-masing dari 6 Julai hingga 22 Julai dan 23 Julai hingga 6 Ogos lalu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain