suria

Kerajaan Kelantan Kecewa Penghulu Gagal Turut Berperanan Sebagai Imam

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan kecewa kerana kebanyakan penghulu yang dilantik gagal memainkan peranan sebagai imam dalam menjalankan tugas dan mewujudkan konsep perkhidmatan "dua dalam satu".

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Penghulu Kelantan Abdul Fatah Harun berkata ini bertentangan dengan matlamat Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu penghulu turut berfungsi sebagai imam apabila keadaan memerlukan.

"Kita dapati setakat ini tidak sampai 50 peratus daripada lebih 700 penghulu yang mampu mencapai status yang disifatkan sebagai 'dua dalam satu' itu," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan imbuhan kepada 58 penghulu di sini, Ahad.

Beliau berkata tugas penghulu yang turut berfungsi sebagai imam itu telah diterap oleh Menteri Besar ketika mula mengambil alih pentadbiran negeri ini pada 1990 lagi.

"Tetapi hasrat pimpinan kerajaan negeri itu belum dapat dicapai sepenuhnya, walaupun ada perubahan yang agak membanggakan," katanya.

Abdul Fatah yang juga timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Kebajikan negeri berkata pada masa depan kerajaan akan mengutamakan pengambilan dan penyambungan kontrak jawatan penghulu bagi mereka yang mempunyai ciri-ciri apa yang disifatkan 'dua dalam satu' itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain