suria

Keluarga Daif Gembira Timbalan Menteri Sahur Bersama

JITRA: Sebuah keluarga daif di Kampung Teluk Malek, dekat sini gembira dengan kehadiran Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom bersahur di rumahnya awal pagi Ahad.

Saidin Mustaffa, 48, isterinya, Siti Hajar Mat Arof, 43, serta lima anak mereka berumur 6 hingga 18 tahun tidak menyangka Mohd Johari yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu sudi bertandang semata-mata untuk bersahur dengan mereka.

Menurut Saidin, kedatangan Mohd Johari memberi harapan kepada beliau untuk memohon bantuan kerana isterinya menderita sakit tekak sejak enam tahun lepas.

"Dengan memperoleh RM300 hingga RM400 sebulan sebagai pembantu peniaga ikan di pasar malam, saya sentiasa kesempitan wang untuk perbelanjaan empat anak yang bersekolah dari darjah tiga hingga tingkatan enam selain setiap bulan perlu ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan isteri.

Rumah yang diduduki sekarang peninggalan mentua tetapi tiada bilik air dan bilik. Hasil sumbangan rakan-rakan, majikan dan secara berhutang saya membina bilik air, tandas dan ruang tambahan," katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas sahur.

Majlis bersahur yang disumbangkan Mohd Johari itu turut disertai kira-kira 50 orang termasuk jiran-jiran Saidin.

Saidin berkata bilik air itu memudahkan beliau sekeluarga terutama isterinya yang sakit kerana selama 20 tahun mereka terpaksa berjalan sejauh 200 meter ke sebuah rumah tinggal untuk mandi dan menggunakan tandas.

Katanya bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada seorang anak bersekolah sebanyak RM300 sebulan sejak tiga tahun lepas telah membantu meringankan sedikit bebanannya.

Mohd Johari yang ditemui berkata beliau menjadikan lawatan sambil bersahur pada bulan Ramadhan sebagai program terbarunya untuk melihat dengan lebih dekat masalah rakyat bagi membantu mereka sewajarnya.

"Saya akan melawat orang miskin, hidup susah dan menderita kerana sakit pada bulan puasa untuk bersahur bersama mereka. Selain itu saya akan melawat dan bersahur bersama anggota pasukan keselamatan di sempadan Malaysia-Thai di Bukit Kayu Hitam," katanya.

Menurutnya beliau akan membantu meringankan tanggungan Saidin termasuk mendapatkan bantuan bagi membeli susu khas untuk isterinya berharga RM32 setin untuk kegunaan selama lima hari sahaja.

Dalam kunjungan itu, Mohd Johari menyumbangkan makanan termasuk beras dan wang tunai kepada keluarga daif itu bagi membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyumbang kepada anak mereka Nur Azila melalui akaun bank CIMB 0211-0040197-52-2 atau menelefon Nur Azila di talian 013-4494247 atau 014-7414891. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain