suria

Generasi Muda Perlu Disedarkan Dengan Sejarah Tanah Air

KUALA TERENGGANU: Generasi muda perlu disedarkan dengan realiti sebenar asal-usul dan sejarah tanah air, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata bagaimanapun, kesedaran itu merupakan satu agenda yang tidak boleh dilaksanakan dalam sekelip mata.

"Dalam kebebasan dan juga hak yang dilaung-laungkan itu, ada had dan batasannya dalam kita hendak membina sebuah negara bangsa.

"Sejarah dan nilai-nilai yang disebutkan tadi penting, supaya anak-anak kita faham bahawa jangan kerana nak perubahan, kerana kita marah, kerana kita nak berpolitik, apa yang kita telah bina selama ini, kita bakar dengan sebegitu rupa dan selepas itu, baru kita ralat," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas kebimbingan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung sikap generasi baru yang semakin menyimpang fahamannya mengenai salasilah dan asal-usul sejarah tanahair, walaupun negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-53 tidak lama lagi.

Beliau berkata kebimbangan Sultan Azlan Shah berhubung tuntutan generasi baru bercanggah dengan semangat warganegara memang satu kenyataan yang tepat.

Katanya, dalam konteks itu, Umno dan Barisan Nasional (BN) sentiasa konsisten dan bukan "Pak Sanggup" sehingga menggadaikan kedudukan agama, bangsa serta perpaduan yang telah terbina selama ini.

Hishammuddin berkata tuntutan yang menjurus kepada perpecahan, berbaur perkauman dan keagamaan, tidak boleh lari daripada pendirian asal iaitu perkara yang telah diterima sejak dulu lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, cabaran DAP yang dialami MCA kini tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah berlaku antara Umno dan PAS pada suatu ketika dahulu.

Katanya, beliau yakin MCA mampu berhadapan dengan cabaran tersebut kerana perjuangan parti itu selari dengan perjuangan BN.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa kenyataan DAP yang disokong MCA kebelakangan ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain