suria

Gabenor Jeneral Australia Hadiri Upacara Peringati Hari Sandakan

SANDAKAN: Gabenor Jeneral Australia Quentin Bryce AC hari ini mengetuai upacara memperingati hari Sandakan bagi menghormati tahanan perang yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua.

Gabenor Jeneral Australia datang buat pertama kali ke sini bagi menghadiri upacara itu. Ia juga menandakan sambutan ulang tahun ke-65 berakhirnya perang itu.

Pada upacara itu, Bryce disertai Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Pang En Yin dan lebih 800 rakyat Australia dan tempatan, bagi meletakkan kalungan bunga kepada tentera bersekutu dan rakyat Sabah yang terkorban semasa pendudukan Jepun.

Di akhir perang itu, tentera Jepun telah mengarahkan tahanan perang itu untuk berjalan lebih 240 kilometer merentas kawasan berbukit dan sukar dari Sandakan ke Ranau di Sabah, mengakibatkan 2,428 tentera Australia dan Britain terkorban.

"Banyak daripada anggota keluarga mereka dan orang tersayang juga hadir hari ini. Sesuatu yang luar biasa telah membolehkan mereka bertahan sesuatu yang luar biasa pula datang mengambil alih," kata Bryce dalam upacara itu.

Katanya semasa waktu-waktu getir dan tingkah laku manusia yang keji, rakyat Sabah dan Australia telah bersama-sama melaluinya.

Bryce berkata cerita yang sebegini hebat telah merapatkan lagi hubungan yang telah sedia erat antara rakyat Sabah dan Australia.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam ucapannya yang dibacakan oleh Pang berkata apa yang telah berlaku semasa perang itu perlu dikongsi bersama dengan generasi muda di Malaysia, Australia, Britain dan New Zealand. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain