suria

Ahmad Cabar Pembangkang Lapor Ke SPRM Jika Berlaku Ketirisan

DUNGUN: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata tambahan peruntukan berjumlah RM158 juta untuk perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi tahun 2010 seperti yang dibentang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri lepas adalah perlu untuk manfaat rakyat.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan untuk pelbagai program kebajikan rakyat termasuk pembinaan rumah mampu milik dan pemberian e-Book kepada murid-murid di negeri ini.

"Antara lain kita memerlukan peruntukan tambahan itu untuk menyiap dengan cepat 18 projek perumahan untuk rakyat. Tetapi pembangkang sibuk menjaja dan berceramah mengatakan berlaku ketirisan dan salah guna kuasa oleh kerajaan.

"Sedangkan pembangkang tahu, apabila kita menjalankan projek seperti itu, ia memberi manfaat kepada rakyat dan ia menambahkan lagi sokongan rakyat kepada kerajaan.

"Ini yang menyebabkan mereka (pembangkang) takut lagi-lagi tengok atap biru," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majliS perjumpaan bersama guru-guru sekolah daerah Dungun di Sekolah Menengah Kebangsaan Paka di sini,Sabtu.

Sehubungan itu Ahmad mencabar pihak pembangkang supaya melaporkan kepada Badan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika merasakan berlaku ketirisan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai dokumen yang lengkap untuk setiap perbelanjaan yang dilakukan dan beliau tidak takut jika perkara itu disiasat.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu minggu lepas meluluskan bajet tambahan hampir RM158 juta menjadikan perbelanjaan kerajaan negeri keseluruhannya sehingga kini melebihi RM2 bilion. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain