suria

Sah Ada Syarikat Laksana Pembangunan Di Luar Kawasan Ditetapkan

KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur Negeri hari ini mengesahkan dakwaan bahawa sebuah syarikat swasta telah membangunkan ladang kelapa sawit di luar kawasan yang ditetapkan di Kota Marudu.

Dalam satu kenyataan di sini, jabatan itu berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang mengikut Ordinan Tanah Sabah terhadap syarikat itu.

"Pada 23 Julai, 2010, Jabatan telah mengadakan pemeriksaan ke atas kawasan yang diceroboh dan mendapati memang benar syarikat swasta tersebut dalam perlaksanaan membangun ladang sawit di luar kawasan geran tanah yang telah diberi surat kuasa," kata Jabatan itu.

Tanah itu melibatkan kawasan tuntutan Hak Anak Negeri di Kampung Soniton Ulu, Kampung Lingkobungan 1 dan Kampung Bombong 1.

Pada Jumaat, Anggota Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menggesa Jabatan tersebut agar bertindak segera atas aduan terhadap syarikat itu.

KINABALU Ongkili setelah melawat kawasan yang dikatakan diceroboh itu, berkata tanah adat itu diusahakan 150 keluarga sejak sekian lama dan ditanam pokok getah serta tanaman lain yang kini mengeluarkan hasil.

Katanya isu itu timbul kerana tanah adat tersebut bertindih dengan satu kawasan lain yang didakwa telah diluluskan untuk pembangunan, menyebabkan syarikat berkenaan membersihkan kawasan terbabit bagi membuka ladang kelapa sawit.

Jabatan tersebut dalam kenyataannya juga menerangkan kawasan yang dimajukan pihak swasta seluas 1,760 ekar (704 hektar) adalah merupakan kawasan yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri melalui surat kelulusan bertarikh 2 Jun, 1978 kepada 88 pemohon tanah di daerah Kota Marudu.

Difahamkan Power Attorney (P.A) telah diberikan oleh pemilik-pemilik tanah kepada sebuah syarikat swasta untuk dibangunkan dengan ladang sawit, tambah Jabatan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain