suria

MBE Sepatutnya Disandarkan Kepada Kepelbagaian Malaysia: Nazir

KUALA LUMPUR: Model Baru Ekonomi (MBE) perlu menyandarkan kepada kepelbagaian Malaysia mengikut kaedah yang menyediakan sokogan bagi syarikat Malaysia berkembang ke perigkat serantau, kata Ketua Eksekutif Kumpulan Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak pada Sabtu.

"Kejayaan yang dicapai oleh CIMB, Axiata, YTL dan AirAsia juga boleh dilaksanakan di Malaysia. Syarikat sedemikian telah menarik bakat rakyat Malaysia walau di mana sahaja mereka berada," katanya semasa berucap pada Kongres Ekonomi Cina MCA di sini.

"Kita memerlukan lebih banyak syarikat Malaysia, malah pada tahap enterpris kecil dan sederhana (EKS) untuk merentasi sempadan nasional," kata Nazir, sambil menyatakan bahawa beliau berharap MBE akan mewujudkan satu kerangka bagi merangsang pertumbuhan percambahan syarikat merentasi sempadan nasional Malaysia.

Katanya nilai kepelbagaian sangat difahami di dalam dunia perniagaan.

"Kepelbagaian di dalam portfolio boleh mengurangkan risiko, kepelbagaian di dalam tenaga kerja jualan diterjemahkan kepada liputan pelanggan yang lebih baik dan kepelbagaian di dalam pemikiran meluaskan julat penyelesaian kita," katanya.

Katanya kepelbagaian memupuk kreativiti dan kepakaran kebudayaan yang diperlukan untuk membina dan mengembangkan perniagaan serantau.

Nazir menonjolkan bahawa CIMB menjadi penerima utama kepelbagaian Malaysia.

"Pertubuhan kami telah berkembang dari satu bank pelaburan yang secara keseluruhannya terdiri daripada rakyat Malaysia pada 2005 kepada satu bank utama universal Asean hanya di dalam tempoh lima tahun" katanya.

Di dalam tempoh itu, katanya permodalan pasaran CIMB meningkat daripada RM5 bilion kepada RM50 bilion, bilangan warga kerjanya telah berkembang daripada 1,000 kepada lebih 36,000 dan hari ini, telah mempunyai warga kerja lebih 20 kewarganegaraan.

Katanya CIMB kini memberi perkhidmatan kepada lebih 10 juta pelanggan di seluruh Asia Tenggara, dari badan korporat besar kepada EKS hingga kepada pelanggan runcit individu.

"Kepelbagaian rakyat kami dan keupayaan cara Malaysia mereka untuk menyesuaikan diri untuk mewujudkan nilai kepada pelbagai keadaan merupakan kunci kepada kejayaan kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain