suria

Kerajaan Kaji Formula Terbaik Tangani Isu Gaji Minimum: Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji formula terbaik bagi menangani isu gaji minimum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu.

"Sementara kita mahu pengeluar dan syarikat untuk menggerakkan rantaian nilai, kerajaan juga memahami bahawa lonjakan tidak berlaku dalam sekelip mata terutama bagi syarikat dalam industri berasaskan tenaga manusia.

"Ini sebabnya kenapa Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan kes mereka kepada Kabinet tidak lama lagi. Setakat ini, saya minta semua majikan di sini hari ini supaya mempertimbang secara serius gaji minimum sebagai satu strategi perniagaan dan peluang untuk menggiatkan perniagaan anda," katanya semasa merasmikan Kongres Ekonomi Cina yang bertemakan "Peranan Masyarakat Cina Dalam Mencapai Matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di sini. Katanya kerajaan mengambil perhatian terhadap hasrat MCA bagi satu dasar gaji minimum yang komprehensif sebagai langkah bagi membina modal insan ke tahap yang sesuai dalam sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan ia juga perlu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja luar terutama dalam sektor pembinaan dan industri perkhidmatan.

"Satu gaji minimum yang sektoral kemungkinan menawarkan cara terbaik bagi melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berkemahiran dan mampu memanfaatkan potensi rakyat Malaysia," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata kaji selidik oleh Kementerian Sumber Manusia menunjukkan bahawa 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan iaitu di bawah paras kemiskinan RM720 sebulan.

"Apa yang membimbangkan ialah kajian Bank Dunia berhubung trend gaji di Malaysia mencatatkan hanya 2.6 peratus kadar pertumbuhan setahun dalam 10 tahun kebelakangan ini. Kebanjiran tenaga pekerja asing juga menekan kenaikan gaji pekerja tempatan.

"Bagi memacu proses mengurangan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing, MCA menggesa pelaksanaan satu dasar gaji minimum berasaskan sektoral dan wilayah. Lebih 90 peratus negara di dunia telahpun mempunyai undang-undang mengenai gaji minimum tetapi Malaysia masih ketinggalan," katanya.

Dr Chua berkata usaha mewujudkan satu sistem gaji minimum adalah selaras dengan gesaan MCA bagi merasionalisasikan subsidi. Dasar gaji minimum dijangka dibentangkan di Kabinet pada Oktober. - BERNAMA

Artikel Lain