Kerajaan Diminta Pantau Penggunaan Bahasa Melayu Oleh Media Elektronik - Semasa | mStar

Kerajaan Diminta Pantau Penggunaan Bahasa Melayu Oleh Media Elektronik

BESUT: Kerajaan hari ini diminta agar memantau penggunaan bahasa Melayu oleh media elektronik yang disifatkan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu (PPBMM) semakin merosot kualitinya.

Presidennya Prof Madya Dr Hashim Othman berkata pelbagai kesalahan bahasa yang berterusan dikesan dalam pelbagai program televisyen dan radio khususnya stesen swasta sejak akhir-akhir ini.

"Tanpa tindakan pembetulan oleh pihak bertanggungjawab, pasti ia akan merendahkan mutu penggunaan bahasa Melayu itu sendiri kerana media eletronik mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan, pemantapan dan penghayatan bahasa Melayu," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau memberi contoh kesalahan paling kerap ialah penggunaan kata ganti nama pembesar dan pemimpin negara yang disebut tanpa rasa sopan dan hormat.

"Nama pembesar berkenaan kerap kali disebut dengan panggilan hormat yang dan betul pada sebutan pertama, tetapi panggilan berikutnya hanya menggunakan nama peribadi beliau sahaja.

"Dalam masyarakat Melayu, ini bukanlah amalan yang wajar atau berbudaya kerana sebagai tanda hormat nama peribadi mereka tidak patut disebut, tetapi digantikan dengan kata ganti nama yang sesuai dengan taraf atau kedudukan mereka dalam status sosial masyarakat," katanya.

Hashim yang juga pensyarah kanan Pusat Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia berkata amalan sekarang itu adalah pengaruh budaya asing yang harus dihentikan.

Beliau juga menegur penggunaan kata ganti 'kita orang', 'korang', dan 'diorang' yang merujuk kepada ganti nama 'kami', 'kalian' dan 'mereka', yang kini meluas diguna dalam drama terbitan stesen televisyen berbayar.

Amalan itu katanya, adalah satu kesalahan yang mencemarkan dan merendahkan bahasa Melayu, serta berlaku akibat pengaruh bahasa asing.

Hashim berkata kesalahan bahasa itu jika tidak dibendung akan membawa impak buruk terhadap perkembangan bahasa Melayu kerana pengaruh media elektronik terhadap penonton dan pendengar khususnya kanak-kanak adalah sangat besar.

Beliau bagaimanapun memuji amalan stesen televisyen dan radio kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu tinggi dan berupaya menjadi contoh kepada pelajar dan masyarakat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain