suria

Hishammuddin, Rakan Sejawatan Bakal Bincang Usaha Perangi Jenayah Rentas Sempadan

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari negara lain bagi mengukuhkan usaha dan kerjasama memerangi jenayah rentas sempadan.

Sebagai permulaan, beliau akan bertemu rakan sejawatan dari Arab Saudi, Putera Nayef Abdul Aziz.

"Kita sedia berkongsi maklumat dan kepakaran yang berkaitan serta bertukar maklumat berhubung operasi dan gerakan pengganas demi kepentingan serta keselamatan dan ketenteraman di kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata selain itu, pertemuan dengan wakil kerajaan Indonesia juga sedang diatur berhubung perkara yang sama.

"Hubungan baik yang terjalin dengan agensi antikeganasan Indonesia selama ini juga telah membuahkan hasil yang signifikan. Saya juga merancang untuk mengadakan lawatan ke Indonesia berhubung isu ini dalam tempoh terdekat," katanya.

Jenayah rentas sempadan dikaitkan dengan pemerdagangan orang, penyeludupan migran, penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, penyeludupan dadah, antikeganasan, senjata biologi, bahan letupan serta jenayah siber. - BERNAMA

Artikel Lain