suria

Warga Kemboja Dipenjara Selepas Cuba Rasuah Anggota Polis

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Kemboja yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini, dihukum penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana cuba merasuah seorang anggota polis, Isnin lepas.

Hakim Sabariah Atan memerintahkan Sles Man menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap iaitu 9 Ogos lepas, sebelum dihantar pulang ke Kemboja.

Sles, 30, dari Phnom Penh dan bekerja sebagai penoreh getah di Serting, Jempol di sini, juga berdepan hukuman penjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.

Menurut kertas pertuduhan dia cuba memberi rasuah sebanyak RM150 kepada anggota polis yang menahannya dalam satu sekatan di Jalan Bahau-Mahsan pada 6.30 petang, sebagai dorongan untuk tidak menangkapnya kerana memiliki pasport tamat tempoh, iaitu setakat 9 Feb 2008.

Sles didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fiza Fazlin Fandi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain