suria

Pindaan Peraturan Jualan Murah Diwartakan Elak Peniaga Menyeleweng

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mewartakan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2010 pada Rabu bagi mengelakkan penyelewengan.

Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pindaan terbaru itu memperuntukkan kawal seliaan yang lebih tegas terhadap peniaga-peniaga yang menjalankan aktiviti jualan murah ekoran banyak rungutan daripada pengguna.

"Dalam pindaan terbaru ini peniaga-peniaga perlu mengemukakan notis kepada KPDNKK berserta dengan senarai lengkap mengenai alamat perniagaan, butir-butir barang, senarai harga barang asal dan harga barangan selepas diskaun.

"Mereka juga perlu mempamerkan notis dan senarai harga barang-barang yang terkandung dalam notis di tempat jualan murah diadakan,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, peniaga juga perlu memastikan bahawa tidak kurang daripada 70 peratus dari kesemua barangan yang dipamerkan termasuk dalam jualan murah yang akan diadakan.

Jelasnya, perkara itu berbeza dengan sebelum pindaan dilaksanakan kerana peniaga hanya perlu menghantar notis untuk mengadakan jualan murah kepada KPDNKK tanpa perlu menyenaraikan senarai barang dan harga sebelum dan selepas jualan murah diadakan.

"Peniaga tidak boleh mengadakan jualan murah dalam masa 14 hari selepas tamat tempoh jualan murah sebelumnya kecuali jualan murah itu melibatkan tiga jualan murah yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Juala Murah) (Pindaan 2010).

"Pada masa yang sama, peniaga hanya boleh mengadakan sebanyak lima kali dalam tempoh setahun yang mana tiga kali adalah yang ditetapkan oleh KPDNKK selepas berbincang dengan Kementerian Pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, selebihnya terpulang kepada pilihan peniaga itu sendiri untuk mengadakan jualan murah berkenaan.

"Kekerapan mengadakan jualan murah ini telah ditambah selepas mengambil kira permintaan daripada persatuan-persatuan peniada dan memberi faedah kepada pengguna untuk membeli barangan pada tawaran harga yang lebih rendah.

"Bagaimanapun, jualan murah berkenaan tidak boleh diadakan melebihi daripada 30 hari daripada tempoh yang diluluskan oleh kementerian,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi setiap barangan perlu dijual pada harga asal sebelum diskaun selama 28 hari dalam tempoh enam bulan sebelum jualan murah itu diadakan.

”Selain itu peniaga juga perlu meletakkan dua tanda harga pada barangan yang dijual iaitu harga jualan murah dan harga yang ditawarkan sebelumnya.

“Jika peniaga gagal mengikut peraturan yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat perbadanan pula, penalty yang boleh dikenakan ialah RM250,000, enam tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPDNKK akan menetapkan harga siling ayam dalam masa terdekat bagi menggelakkan kenaikan harga ayam pada musim hari raya ini.

“Kementerian akan menetapkan harga siling ayam untuk tempoh dua minggu, iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas hari raya.

“Setakat ini kita masih lagi berbincang dengan persatuan peniaga ayam bagi menetapkan harga yang sesuai ketika musim perayaan. Kalau kita letakkan harga yang rendah takut mereka ini tak mahu jual ayam kepada pengguna.

“Saya berharap harga yang akan ditetapkan nanti lebih rendah daripada harga ayam ketika ini,” katanya.

Semalam akhbar, Utusan Malaysia melaporkan kenaikan harga ayam di beberapa negeri antara 30 sen hingga RM1.30 termasuk Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata harga ayam di Putrajaya tidak naik dan harga yang telah siap dimasak bagaimanapun tidak mengalami sebarang perubahan.

"Pengguna perlu bijak membuat penilaian dan memilih mana kedai yang menawarkan harga ayam yang murah.

"Jika ada kedai yang jual pada harga yang lebih rendah lebih baik mereka beli di sana," ujarnya.

Beliau turut menggesa pengguna supaya membuat laporan kepada KPDNKK sekiranya mendapati peniaga menaikkan harga ayam atau barang keperluan yang lain menjelang musim perayaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain