suria

Lagi Gadis Diperdaya

KUALA LUMPUR: "Ibu doakan Baby selamat pergi dan selamat balik. Baby akan balik dalam masa tiga hari."

Itu adalah antara kata-kata terakhir seorang remaja berusia 19 tahun ketika menghubungi ibunya memaklumkan akan berlepas ke negara itu pada 10 Ogos lalu.

Nur Dhiya Ain Rosman, yang juga menderita penyakit hipertensi melampau membuat panggilan itu ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai sedang menunggu penerbangan ke Afrika.

Lebih membimbangkan, dia dikhuatiri menjadi mangsa terbaru sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang sering menggunakan gadis tempatan untuk diperdayakan.

Ibu mangsa, Roslah Abdul Jani, 43 berkata, Nur Dhiya yang lebih mesra dengan panggilan 'baby' disangka bergurau apabila diberitahu hendak ke Afrika tetapi dia dan suaminya, AC Musa mula bimbang apabila panggilan yang diputuskan secara tiba-tiba itu tidak dapat dihubungi semula.

"Saya ingat dia bergurau, kerana jika difikir secara logik, tidak mungkin dia nak ke Afrika dan belum sempat saya bertanya lanjut 'baby' telah mematikan talian," katanya ketika pada sidang media di Pusat Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai perubahan diri anak perempuannya itu, Roslah memberitahu, sebelum dia dan suaminya ke Melaka untuk melawat saudara pada hari kejadian, Nur Dhiya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sentiasa mesra seperti selalu.

"Saya cukup rapat dengannya, malah dia tidak pernah menyembunyikan sebarang masalah daripada saya. Tindakannya cukup mengejutkan saya," ujarnya.

Dalam pada itu, ibu kepada empat cahaya mata ini tambah kecewa apabila laporan polis yang dibuat tidak diendahkan untuk tindakan segera sedari anaknya masih boleh diselamatkan ketika itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia, Datuk Khairun Aseh berkata, pihaknya telah menghubungi pihak Wisma Putra, Interpol dan Kedutaan Malaysia di Afrika Selatan untuk meminta bantuan bagi mengesan remaja itu.

"Kita bukan sahaja meminta bantuan daripada pihak berkuasa tetapi turut menggunakan alternatif lain dalam usaha mengesan Nur Dhiya," katanya.

Khairun turut memberitahu, mangsa telah menaiki penerbangan Qatar Airways yang transit di Doha sebelum berlepas ke Cape Town, Afrika Selatan.

"Syarikat penerbangan sendiri telah mengesahkan mangsa berada di dalam pesawat dan sehingga kini tidak dapat dikesan dimanakah kedudukannya. Kita sedang berusaha untuk mengesannya," katanya.

Kecewa dengan kejadian memperdayakan gadis di negara ini, Khairun berkata langkah proaktif seperti melakukan pemeriksaan menyeluruh kepada penumpang yang dilihat meragukan harus di ambil bagi mengelakkan masalah ini seterusnya menyelamatkan lebih banyak mangsa.

Katanya, walaupun masih belum dapat dipastikan sama ada mangsa dijadikan mangsa sindiket itu, tetapi modus operandi dan keraguaan yang jelas terhadap cara gadis itu pergi ke Afrika telah menimbulkan tanda tanya.

"Nur Dhiya tidak pernah pergi ke luar negara dan ibu bapanya sendiri tidak tahu menahu dia mempunyai pasport antarabangsa.

"Lebih kecewa, atas karenah birokrasi laporan yang telah dibuat ibu bapanya tidak mendapat tindakan segera walaupun telah dijelaskan kemungkinan anak mereka masih belum berlepas dan dapat diselamatkan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain