suria

‘Jutawan Lubnan’ Dipenjara 6 Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘Jutawan Lubnan’, Elie Youseff Najem dihukum penjara selama enam tahun dan lima bulan selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini Jumaat, atas pertuduhan menipu dan menyalahgunakan pas lawatan.

Majistret Mohd Azli Ibrahim menjatuhkan keputusan itu selepas memutuskan bahawa Elie, 51, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Keputusan itu dibuat selepas mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan manakala Elie yang dikenali kerana kontroversi derma RM1.03 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pada 2006 tidak memanggil saksi lain bagi menyokongnya.

Elie dihukum penjara selama enam tahun bagi dua pertuduhan menipu seorang lelaki tempatan, Tan Sim Chai supaya meminjamkan wang dengan dakwaan akan membayar semula apabila memperoleh wang dari luar negara bernilai 2.6 juta pound sterling (kira-kira RM12 juta).

Perbuatannya itu telah menyebabkan Tan menyerahkan sembilan keping cek bernilai RM22,000 pada pukul 10 malam, 12 September 2005 dan juga RM13,000 pada pukul 11 malam, keesokkan harinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Megan Avenue 2, Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Elie juga dihukum penjara lima bulan bagi kesalahan menyalahguna pas lawatan dengan bekerja sebagai pengarah syarikat di tempat yang sama, pukul 4.30 petang, 21 September 2005.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran.

Bagaimanapun, Mohd Azli membenarkan permohonan Elie yang dibuat menerusi peguam S.Selvam bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana berhasrat mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan itu, beliau menetapkan dia dibebaskan dengan jaminan RM40,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Dalam usaha meringankan hukuman, Selvam memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa Elie yang mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya dengan wanita tempatan, Farinnie Mohd Farid menghidap penyakit kencing manis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain